Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Iwan sudah berubah 180 darjah

    Suatu ketika dahulu, jejaka ini cukup laris hingga pernah mencetuskan fenomena dengan genre dangdut. Hari ini, seiring peningkatan usia, Iwan Syahman sudah berubah 180 darjah.

    Sejak sedekad lalu, bapa kepada dua pelakon jelita, Oktovia Manrose dan Aprena Manrose lebih mendekatkan diri ke jalan syurgawi. Namun, sepanjang tempoh penghijrahan itu, Iwan atau nama penuhnya, Wan Syahman Wan Yunus, 60, tidak meninggalkan dunia seni begitu sahaja.

    Malah, Iwan yang dilahirkan di Kisaran, Sumatera Utara, Indonesia cenderung menyanyikan lagu nasyid dan ketuhanan. Buktinya, finalis program realiti, Hijrahkan Laguku ini memiliki kira-kira 30 lagu dan pernah merakamkan tujuh album ketuhanan. “Ketika itu, album pertama dan kedua masih dijual di kedai muzik. Namun, untuk album seterusnya, saya cari alternatif dengan menjualnya sendiri disebabkan ledakan pasaran muzik digital.

    “Saya usung album dan jual ketika beri ceramah di masjid, surau dan sebagainya. Dua tahun lalu, saya merakamkan album berjudul Suara Daie yang menggabungkan penyanyi yang berhijrah iaitu Allahyarham A Ali, Zul Handyblack, Izam Medicine, Zul Yahya dan saya. Namun, disebabkan wabak COVID-19, album terbabit tidak boleh dipromosikan. Saya kemudian menyanyikan semula beberapa lagu dalam album itu.

    “Saya beri judul Ajaib iaitu Akhirat Janji Allah Itu Benar dan mengisinya dengan 10 lagu,” katanya.

    Iwan berkata, selepas berhijrah, dia banyak memenuhi tawaran berdakwah dan menyanyikan lagu Islamik. – Agensi

    Iwan berkata, selepas program realiti, Hijrahkan Laguku berakhir, dia terdetik merakamkan album Suara Daie Volume 2 membabitkan finalis dan peserta terbabit.

    Iwan berkata, selepas berhijrah, dia banyak memenuhi tawaran berdakwah dan menyanyikan lagu Islamik. Akuinya, Allah sentiasa memberikan rezeki dan dia tidak risau mengenainya. Terbukti, Iwan menerima tawaran daripada stesen TV untuk menyertai program realiti, Hijrahkan Laguku.

    Iwan berkata, dia mengubah lirik lagu popular yang didendangkan dalam program itu kepada konsep ketuhanan.

    “Ada lagu genre kasih sayang sesama manusia ditukar kepada cinta kepada Allah. Itulah manisnya pertandingan itu.

    “Macam lagu Siapa Di Hatimu ditukar menjadi Allah Di Hatimu, Memori Daun Pisang (Memori Di Jalan Allah), Istana Menanti (Syurga Menanti) dan sebagainya,” katanya. Memilih untuk tidak menyanyikan lagu cinta melalaikan yang pernah didendangkan dahulu, Iwan mahu meneruskan survival seni dengan lagu yang lebih diredai Allah.

    “Saya pun akan meneruskan rutin berdakwah. Cuma, saya sudah lama tidak pulang ke kampung di Sumatera kerana sekatan perjalanan akibat COVID-19.

    “Sejak lapan tahun lalu, saya bangunkan madrasah iaitu Yayasan Taman Tahfiz Darul Islah. Jualan produk disalurkan kepada madrasah itu.

    “Setakat ini, kami ada masing-masing 200 pelajar tahfiz lelaki dan wanita,” katanya.

    Pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon dan penerbit, Allahyarham Rosnah Mohd Noor dan dikurniakan tiga cahaya mata, Wan Ramada Agus Putra, Octovia dan Aprena.

    Perkahwinan kedua bersama Wan Rafidah Abu Bakar pada 1988, namun, bertahan lapan tahun. Mereka mempunyai anak angkat, Nursyafiqah Emisya. Bahagia bersama isteri, Evie Surriyanti berasal dari Permatang Siantar, Medan, Indonesia yang dinikahi sejak 12 tahun lalu. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...