Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Jalur Gemilang II, bukti patriotisme kepada Malaysia

    PUTRAJAYA – Setiap hujung minggu, Shamsurrijal Abdul Jamil akan bersiap dengan segala peralatan untuk membasuh koleksi kereta Proton miliknya, di hadapan rumah di Presint 9 di sini, dan yang pasti menjadi tumpuan adalah kereta Proton Satria GTi dengan nombor pendaftaran ‘Jalur Gemilang II’.

    Shamsurrijal, 57, berkata kereta yang lebih dikenali dengan ‘panggilan’ Jalur Gemilang II itu, merupakan kereta yang digunakannya ketika menjayakan misi berkereta secara solo menjelajah ke 45 negara pada 2003.

    Pada Shamsurrijal, kereta yang bewarna bendera Malaysia di badannya itu, adalah lambang rasa cinta dan patriotisme tingginya kepada tanah air.

    “Alhamdulillah, Jalur Gemilang II masih boleh digunakan dan tidak mempunyai masalah besar. Kereta ini masih menggunakan enjin asal dan ia berfungsi baik,” katanya kepada Bernama.

    Mengimbau misi berkereta secara solo itu, Shamsurrijal berkata ia penga- laman paling manis dalam hidupnya memandangkan beliau satu-satunya rakyat Malaysia yang menjayakan misi berkereta itu.

    Kereta Proton Satria GTi dengan nombor pendaftaran ‘Jalur Gemilang II’ milik Shamsurrijal Abdul Jamil pernah membawa nama Malaysia ke persada Antarabangsa 19 tahun lepas. – Bernama

    “Melalui misi itu, saya tonjolkan fakta menarik tentang Malaysia kepada rakyat luar negara. Mereka sangat teruja mengetahui tentang negara kita yang terletak di Asia Tenggara.

    “Memang waktu itu, saya ingin promosikan Malaysia ke serata dunia,” katanya Jalur Gemilang II dengan warna bendera Malaysia di badan kereta itu sentiasa menarik perhatian mata yang memandang, apabila melalui negara-negara berkenaan.

    Menurutnya, misi berkenaan turut berhadapan dengan kesukarannya antara keadaan cuaca serta keadaan jalan yang berbeza, di setiap negara yang beliau lalui.

    “Namun, saya sentiasa mendapat sokongan orang tempatan dan dialu-alukan, malah ada yang beri saya tinggal di rumah mereka, contohnya orang di Bosnia-Herzegovina tahu tentang kebaikan Malaysia yang pernah membantu mereka dahulu,” katanya.

    Misi berkereta secara solo ke 45 negara dijayakan Shamsurrijal bermula 14 Feb hingga 23 Nov 2003, bermula dari Johor Bahru ke Moscow, Rusia dengan perjalanan mengambil masa selama 10 bulan. 

    Beliau berkata Jalur Gemilang II pernah tersadai di Rusia beberapa tahun, selepas misi berkereta secara solo selesai.

    “Bayangkan kereta berada dalam keadaan hujan panas dan salji di negara orang, tetapi bila tukar bateri sahaja, ia masih boleh digunakan,” katanya.

    Beliau berkata kisah Jalur Gemilang II kembali menjadi bualan di media sosial, setelah beliau menyertai pameran ‘Art of Speed 2022’ di Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor baru-baru ini.

    “Generasi sekarang mungkin tidak mengetahui tentang kisah Jalur Gemilang II tetapi selepas saya sertai pameran itu, ramai anak muda yang berminat untuk tahu kisah perjalanan saya dengan kereta Proton Satria GTi itu,” katanya.

    Shamsurrijal berkata beliau berhasrat untuk memulakan kembali misi berkereta solo ke seluruh dunia menggunakan Jalur Gemilang II pada 2025.

    “Jika kesihatan diri termasuk kewangan mengizinkan. Saya akan cuba jayakan misi baharu ini dan sekarang saya telah kaji laluan untuk berkereta ke seluruh dunia,” kata pekerja swasta di Selangor itu.

    Shamsurrijal yang merupakan bapa kepada tiga anak dan kini memiliki lapan orang cucu itu turut mempunyai koleksi kereta Proton lain antaranya Saga, Putra, Wira, Savvy, Suprima, Perdana serta koleksi terkini X70.

    “Proton sentiasa dekat di hati saya kerana kereta nasional ini setanding dengan keluaran luar negara.

    “Koleksi kereta Proton ini juga menterjemahkan rasa sayang saya terhadap produk buatan Malaysia… kita seha- rusnya bangga dengan Proton atau Perodua,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...