Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Kabinet dirombak

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan bertitah mengumumkan rombakan dan pelantikan beberapa menteri-menteri kabinet dan timbalan-timbalan menteri yang baharu hari ini.

    Baginda bertitah secara langsung melalui semua saluran televisyen dan radio, yang mana pelantikan dan pertukaran tersebut berkuat kuasa hari ini bagi tempoh selama empat tahun.

    “Sudah tiba masanya untuk menukar dan melantik beberapa orang menteri kabinet dan timbalan menteri yang baharu termasuk mengekalkan beberapa orang menteri kabinet dan timbalan menteri kabinet,” titah Baginda.

    Baginda menekankan ini adalah untuk mengukuhkan lagi jentera pentadbiran kerajaan dalam meningkatkan keberkesanan fungsi kementerian yang berkenaan.

    Dengan bertawakal ke hadrat Allah SWT, Baginda bertitah mengumumkan bahawa Baginda menjawat jawatan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Menteri Kewangan dan Ekonomi, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan bertitah mengumumkan pelantikan dan pertukaran beberapa menteri-menteri kabinet dan timbalan-timbalan menteri yang baharu, kelmarin. – Gambar oleh Infofoto
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah menjawat jawatan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Menteri Kewangan dan Ekonomi, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah menjawat jawatan Menteri Kanan di JPM.
    Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa kekal sebagai Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Menteri di JPM.
    Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin dikekalkan sebagai Menteri Hal Ehwal Ugama.
    Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi dilantik sebagai Menteri di JPM.
    Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham dikekalkan sebagai Menteri Kesihatan.
    Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew kekal sebagai Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua.
    Dato Seri Setia Haji Erywan dikekalkan sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua.
    Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri baharu.
    Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf dilantik sebagai Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.
    Dato Paduka Haji Mohd Juanda dilantik sebagai Menteri Pembangunan.
    Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah dilantik sebagai Menteri Pendidikan.
    Pengiran Shamhary dilantik sebagai Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi baharu.
    Haji Nazmi dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah menjawat jawatan Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

    Sementara itu, Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa bin Pehin Datu Perdana Manteri Dato Laila Utama Haji Awang Ibrahim masih dikekalkan sebagai Penasihat Khas Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Menteri di JPM.

    Baginda Sultan turut bertitah mengumumkan bahawa Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dilantik sebagai Menteri di JPM bagi menggantikan Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

    Manakala, Dato Seri Paduka Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman telah dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin pula dilantik sebagai Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Dato Paduka Haji Mohd Juanda bin Haji Abdul Rashid dilantik sebagai Menteri Pembangunan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh telah dilantik sebagai Menteri Pendidikan dan Pengiran Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha sebagai Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi. Manakala Haji Nazmi bin Haji Mohammad telah dilantik sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Sementara itu, Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman masih dikekalkan sebagai Menteri Hal Ehwal Ugama dan Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar masih dikekalkan sebagai Menteri Kesihatan.

    Selain itu, Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah masih dikekalkan sebagai Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, manakala Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohammad Yusof masih dikekalkan sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua dan Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw masih dikekalkan sebagai Timbalan Menteri Jabatan Tenaga di JPM.

    Baginda Sultan turut berkenan bertitah mengumumkan bahawa Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohd Tassim bin Pengiran Haji Hassan dilantik sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Awang Mohd Reza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos sebagai Timbalan Menteri di JPM dan Dato

    Paduka Haji Suffian bin Haji Sabtu sebagai Timbalan Menteri di JPM, Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak Haji Abdul Kadir sebagai Timbalan Menteri Pertahanan, Awang Khairrudin bin Haji Abdul Hamid sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi dan Pengiran Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi.

    Bagi jawatan Timbalan Menteri Pembangunan adalah belum lagi diperlukan.

    Semasa bertitah, Baginda menegaskan dan mengingatkan, lantikan-lantikan ini adalah amanah, di mana amanah mestilah di tanai dengan penuh setia dan sikap bertanggungjawab, tidak siapa pun boleh mengabaikan amanah, kerana amanah itu adalah ibarat perjanjian suci kita dengan Allah.

    Di akhir titah Baginda jua tidak lupa merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mereka yang tidak lagi dilantik atas khidmat dan jasa mereka yang disumbangankan selama ini, semoga Allah juga yang akan membalas dengan ganjaran pahala serta kebahagiaan yang berterusan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...