Monday, May 20, 2024
23.9 C
Brunei

    -

    Kadar obesiti orang dewasa tinggi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Negara Brunei Darussalam mempunyai kadar obesiti dalam kalangan dewasa antara yang paling tinggi di rantau ini di mana hampir tiga daripada 10 orang dewasa didapati obes, menurut Kaji Selidik Penyakit Tidak Berjangkit 2016.

    Sementara itu, Global School-based Health Survey (GSHS) 2019 menunjukkan kadar obesiti dalam kalangan remaja yang berumur 13 hingga 17 tahun adalah 18.1 peratus.

    Saringan kesihatan yang dijalankan oleh Perkhidmatan Kesihatan Sekolah, Kementerian Kesihatan dalam kalangan pelajar-pelajar di seluruh negara juga mendapati kadar obesiti dalam kalangan pelajar Tahun 1, 4 dan 7 dalam tempoh masa 10 tahun kebelakangan adalah antara 17 peratus hingga 19 peratus.

    “Jika masalah obesiti ini tidak dibendung dari awal, trend ini akan terus meningkat dan kanak-kanak yang obes akan membesar menjadi dewasa yang obes dengan masalah kesihatan yang berkaitan.”

    Penekanan itu dibuat oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan sempena Sambutan Hari Obesiti Sedunia 2023.

    Pilih makanan berkhasiat bagi mengawal obesiti. – Gambar fail Bernama

    Beliau menambah bahawa masalah obesiti atau kegemukan berkait rapat dengan penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti kanser, penyakit kardiovaskular dan diabetes.

    Hari Obesiti Sedunia, ulasnya, ialah hari tindakan bersatu yang disambut pada 4 Mac oleh Persekutuan Obesiti Sedunia (WOF) untuk meningkatkan kesedaran mengenai masalah obesiti yang semakin meningkat di seluruh dunia.

    Beliau turut mendedahkan bahawa tema yang dipilih bagi sambutan itu pada tahun ini ialah ‘Mengubah Perspektif: Mari Kita Berbicara Mengenai Obesiti’.

    Di peringkat global, jelas Yang Berhormat Dato, dianggarkan 1.9 bilion orang dewasa adalah obes iaitu satu dalam empat orang dewasa yang obes pada 2035. Kadar obesiti di kalangan kanak-kanak juga merisaukan kerana ia dianggarkan meningkat sebanyak 100 peratus di antara 2020 dan 2035, jika tiada tindakan diambil untuk mengatasi masalah itu.

    Beliau menerangkan bahawa WOF menganggarkan kos perubatan di seluruh dunia untuk merawat penyakit-penyakit yang berkaitan dengan obesiti adalah sebanyak AS$4.32 trilion pada 2035 kecuali jika usaha dalam menangani dan mengurangkan kadar obesiti dipergiatkan dan diperkukuhkan.

    Terdapat beberapa faktor risiko menyebabkan kenaikan berat badan terjadi di sepanjang hayat di mana antaranya tidak mengamalkan penyusuan susu ibu, amalan pemakanan kanak-kanak yang dipengaruhi persekitaran, gaya hidup sedentari, tekanan emosi atau kewangan, gangguan tidur dan sebagainya.

    Selain itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham (gambar) menyatakan obesiti juga boleh disebabkan oleh masalah kesihatan mental seperti kemurungan atau penggunaan ubat-ubatan tertentu seperti steroid, yang boleh menyebabkan kenaikan berat badan yang berlebihan.

    “Namun demikian, kita perlu mengubah persepsi mengenai obesiti sebagai masalah individu. Punca obesiti bukan satu, malah akibat pelbagai faktor, oleh itu, selain daripada tindakan individu sendiri dan ahli keluarga, pendekatan bersepadu adalah diperlukan oleh semua lapisan masyarakat dan pelbagai sektor bagi sama-sama menangani dan membantut peningkatan kadar obesiti di negara kita.”

    Justeru itu, Yang Berhormat Dato menekankan misi Hari Obesiti Sedunia iaitu untuk kita semua meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai masalah dan tindakan bagi menangani obesiti, menggalakkan masyarakat bersama untuk menjadi penyokong dalam mencegah dan mengawal obesiti, menggubal dan melaksana dasar-dasar berkaitan dengan obesiti bagi mengutamakan persekitaran yang sihat serta berkongsi pengalaman bagi sama-sama menangani dan membantu mengurangkan kadar obesiti di peringkat negara, serantau dan juga di peringkat antarabangsa.

    Dari itu, beliau menyeru supaya kita sama-sama berbicara, berkongsi pengalaman dan memahami punca obesiti yang kompleks, supaya dapat mengambil tindakan yang berkesan untuk diri kita sendiri, masyarakat dan negara kita.

    Yang Berhormat Dato juga menarik perhatian orang ramai mengenai salah satu penyumbang punca obesiti iaitu pemasaran produk makanan dan minuman yang tidak sihat.

    Beliau menerangkan bahawa di Brunei, dasar untuk mengawal pemasaran makanan dan minuman yang tinggi gula, garam dan lemak kepada kanak-kanak telah mula dilaksanakan pada Januari 2022.

    Dasar yang dikenali sebagai Kod Pemasaran Makanan dan Minuman yang Berhemah kepada Kanak-kanak, Negara Brunei Darussalam adalah salah satu usaha Kementerian Kesihatan dalam menangani dan mencegah masalah obesiti di Negara Brunei Darussalam khususnya di kalangan kanak-kanak.

    Kajian telah membuktikan terdapat hubungan yang kompleks dan berkait rapat di antara sistem makanan, kesihatan dan pemasaran produk makanan dengan obesiti.

    Oleh itu, semua pihak berkepentingan perlu prihatin akan perkara itu dan mengambil langkah-langkah yang berpatutan untuk memastikan kanak-kanak kita terpelihara daripada kesan pengiklanan yang tidak berhemah.

    Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa kita semua mampu untuk membuat perubahan untuk diri sendiri dan anak-anak kita dengan nasihat, motivasi dan perkhidmatan atau program yang bersesuaian.

    Beliau mengalu-alukan semua individu yang ingin mengambil langkah untuk membuat perubahan untuk mengurangkan berat badan atau ingin menjadi lebih sihat supaya mendapatkan khidmat nasihat dari pusat-pusat kesihatan berdekatan.

    Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan, jelasnya, ada menyediakan perkhidmatan Klinik Obesiti (bagi dewasa) di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha melalui rujukan dari pusat-pusat kesihatan berdekatan.

    Khidmat nasihat juga boleh didapatkan daripada Pusat Promosi Kesihatan di Kementerian Kesihatan, di mana, dasar dan program gaya hidup sihat boleh dilaksanakan bersama dengan penglibatan serta kerjasama institusi kerajaan dan swasta, industri penjualan atau pengeluaran makanan dan minuman, tempat kerja, badan bukan kerajaan serta masyarakat awam secara umumnya dalam sama-sama menangani dan mencegah masalah obesiti di negara ini.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham berkata lagi, “Marilah kita sama-sama bertanggungjawab dan tekad untuk membuat pilihan yang lebih sihat demi kesihatan diri sendiri.”

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Helikopter presiden Iran ‘kemalangan’

    TEHRAN, 19 MEI - Sebuah helikopter yang membawa konvoi Presiden Iran, Ebrahim Raisi terlibat dalam ‘kemalangan’ hari ini, lapor media negara itu, tanpa menyatakan...