Sunday, May 19, 2024
29.8 C
Brunei

    -

    Kaji, perhalus kurikulum prasekolah

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JULAI – Kementerian Pendidikan memberikan tumpuan kepada kajian semula dasar dan pembangunan dalam pendidikan awal kanak-kanak (ECE), di samping mewujudkan kesedaran mengenai faedah serta kepentingan ECE.

    Tumpuan utama kementerian berkenaan telah dikongsi oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dalam ucapannya semasa menghadiri Persidangan Meja Bulat Menteri mengenai Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (ECCE) Asia Tenggara yang berlangsung di Jakarta, Republik Indonesia, hari ini.

    Selain daripada itu, jelas Yang Berhormat Datin, Kementerian Pendidikan juga sentiasa berusaha untuk mengkaji dan memperhalus kurikulum prasekolah supaya selari dengan piawaian antarabangsa serta meningkatkan kualiti guru prasekolah.

    Beliau seterusnya menekankan komitmen Kementerian Pendidikan terhadap Wawasan Brunei 2035 dan mentransformasikan pendidikan untuk masa depan masyarakat serantau.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, dialog dasar yang bertemakan ‘Transformasi ECCE di Asia Tenggara’ itu telah diadakan berikutan kepengerusian Republik Indonesia dalam ASEAN pada 2023 serta dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi, Republik Indonesia dengan sokongan Pusat Serantau SEAMEO bagi Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Keibubapaan serta Sekretariat ASEAN.

    Dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi, Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Nadiem Anwar Makarim, acara itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran ECCE yang berkualiti, membincangkan dasar dan mengenal pasti tindakan yang perlu diambil, memupuk komitmen politik serta menyediakan platform untuk berkongsi pengalaman dan amalan-amalan terbaik dalam melaksanakan program ECCE.

    Persidangan meja bulat menteri didahului dengan Persidangan Dialog Dasar Mengenai ECCE Asia Tenggara yang dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin pada 25 Julai.

    Kementerian Pendidikan turut berkesempatan untuk mengadakan mesyuarat dua hala bersama beberapa buah negara anggota ASEAN dan pertubuhan serantau bagi membincangkan perkara-perkara mengenai pengukuhan kerjasama dan program mengenai pendidikan serta aktiviti awal kanak-kanak.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah semasa menghadiri persidangan meja bulat di Jakarta, Indonesia. – Gambar serahan Kementerian Pendidikan
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...