Saturday, May 18, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Karim Benzema pecah rekod penjaring terbanyak Perancis

    PALMA, 15 MAC – Karim Benzema menjadi penjaring terbanyak Perancis dalam sejarah, kelmarin selepas dua gol yang dijaringkannya memberikan kemenangan 3-0 untuk Real Madrid ke atas Mallorca, meletakkan mereka 10 mata di hadapan di puncak La Liga.

    Namun penyerang kelahiran Perancis itu terpaksa dikeluarkan selepas dilihat mengalami kecederaan, sekali gus memberikan kerisauan buat Madrid menjelang pertemuan El Clasico menentang Barcelona pada Ahad.

    Ketiadaan Benzema untuk perlawanan di Santiago Bernabeu itu nanti akan menjadi tamparan hebat buat Madrid, selepas penyerang itu meneruskan prestasi cemerlang dengan dua lagi gol di Son Moix.

    Selepas meledak hatrik untuk membantu Madrid menundukkan Paris Saint-Germain (PSG) di saingan Liga Juara-Juara minggu lalu, jaringan menerusi sepakan penalti oleh pemain berusia 34 tahun sewaktu menentang Mallorca telah menjadikan jumlah gol dijaringkan kepada 412, melakar namanya di atas Thierry Henry dalam senarai penjaring terbanyak Perancis sepanjang zaman.

    Benzema kemudian menambah koleksi jaringan kepada 413 dan gol ketiga untuk Madrid melalui tandukan hebat, sebelum dikeluarkan.

    Kelebihan besar Madrid ke atas Sevilla di puncak La Liga bermakna El Clasico pada hujung minggu ini tidak akan memberikan sebarang perubahan besar, meskipun jika peningkatan Barca kebelakangan ini membayangkan kebangkitan mungkin masih berlaku.

    Namun, tidak dinafikan Barcelona ingin mengesahkan perkembangan mereka di bawah bimbingan Xavi dengan kemenangan di gelanggang lawan sementara kejayaan buat Madrid akan menunjukkan dominasi mereka pada musim ini.

    Mallorca mempunyai peluang yang lebih baik semasa awal perlawanan, di mana Vedat Muriqi gagal mengambil peluang setelah percubaannya tersasar selepas menerima hantaran daripada Brian Olivan.

    Vinicius Junior memberikan ancaman besar untuk Madrid namun bernasib baik hanya dilayangkan kad kuning selepas melakukan kekasaran terhadap Pablo Maffeo, yang selayaknya diberikan kad merah.– AFP

    Reaksi Karim Benzema selepas menjaringkan gol untuk Madrid semasa pertemuan menentang Mallorca di Palma de Mallorca, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...