Wednesday, May 8, 2024
23.1 C
Brunei

    -

    Karya seni moden suatu kerajinan

    Oleh Amri HTZ

    Lampu tidur bagi sesetengah orang bukanlah sesuatu yang mesti dimiliki dan lebih memilih untuk tidur dalam keadaan benar-benar gelap.

    Namun bagi sesetengahnya pula, tanpanya menjadikan mereka takut atau tidak lena tidur disebabkan pelbagai imaginasi yang wujud dalam kegelapan. Seperti diketahui, lampu tidur biasanya tidak kekal digunakan dan sering diubah-ubah dengan sesuatu yang baharu bagi mengelakkan rasa bosan ketika memandangnya.

    Bagi mereka yang menginginkan kelainan, merekanya sendiri merupakan pilihan yang tepat.

    Antara peralatan yang diperlukan

    Sebelum memulakan proses rekaan ini, terlebih dahulu sediakan barangan seperti papan lapis dengan tebal ¾”, rod loyang berukuran 1/8”, mekanisme lampu, mesin pemotong kayu, mesin gerudi, pita pengukur atau pembaris, pensel, bandsaw atau mesin jig, alat pengepit kayu, gam kayu, mata gerudi, (berukuran 1/8”, ¼”, 3/8”), rod berulir berukuran ¼”, pahat kayu, pita perekat dan kertas pasir.

    Langkah-langkah pembuatan

    Pada langkah pertama pembuatan, kepingan papan lapis yang tersedia akan dipotongkan menggunakan mesin pemotong kayu dengan bentuk empat segi berukuran 3” x 3”. Sembilan kepingan papan lapis diperlukan untuk mereka struktur lampu ini.

    Langkah membentuk papan lapis 3”x3” menjadi bulat menggunakan rod dan papan lapis berlubang sebagai pivot point.
    Kepingan papan lapis yang telah ditetapkan pada mesin lathe menggunakan rod pada bahagian tengahnya.
    Papan lapis berbentuk bulat yang telah dipotong dua dengan salah satu bahagian dalam keadaan bertingkat.
    Bahagian potongan yang bertingkat berfungsi sebagai bahagian engsel akan digosok membentuk permukaan membulat.

    Setelah memotongnya, bahagian tengah kepingan kayu tersebut akan ditandakan dengan cara meletakkan pembaris pada bahagian kedua-dua hujung kayu yang bertentangan.

    Setelah ia dilakukan, pertembungan di antara garisan yang direka pada permukaan papan tersebut merupakan kedudukan sebenar bahagian tengah kayu.

    Bahagian tengah yang telah didapatkan kemudiannya akan ditebuk menggunakan mata gerudi berukuran ¼”. Tujuannya ialah untuk menempatkan rod ¼“ bagi proses membentuk kayu menjadi bulat.

    Setelah menebuknya, sekeping papan lapis diperlukan dengan besar lebih kurang 6” x 6” sebagai pivot point yang memerlukan awda menebuk lubang pada permukaannya dengan besar yang sama.

    Dengan lubang yang ditebuk, awda hanya perlu memasukkan rod pada papan lapis yang dipotong kecil tadi ke dalam lubang papan lapis untuk pivot point.

    Sambil menetapkannya pada permukaan kerja mesin bandsaw, putar perlahan kayu kecil tersebut untuk memotongkannya dengan memastikan kedudukan pivot point kekal pada tempatnya. Lakukan langkah yang sama untuk kesemua sembilan keping papan lapis 3”x3” tersebut.

    Bagi awda yang tidak memiliki mesin pemotong kayu, melakukannya menggunakan mesin jig merupakan salah satu pilihan. Cara mereka bentuk bulatan merupakan langkah yang amat mudah iaitu menggunakan alat kompas.

    Selain bentuk bulatan yang diperlukan, bahagian tengah juga boleh terus didapatkan dengan mengenal pasti kawasan jarum kompas ditempatkan.

    Setelah memotongkannya, langkah yang sama perlu dilakukan iaitu menebuk bahagian tengah papan lapis tersebut yang diperlukan untuk langkah seterusnya.

    Lubang yang tersedia akan dimasukkan dengan rod panjang berdiameter ¼”. Ia kemudiannya akan diketatkan dengan nat sebelum membolehkan awda untuk menyelaraskan keseluruhan kepingan papan lapis menjadi bentuk bulatan yang sama rata dan sempurna.

    Salah satu bahagian hujung rod akan ditetapkan pada chuck mesin lathe yang kemudiannya diikuti dengan langkah merapikan permukaan kayu menggunakan alat pahat kayu khusus mesin.

    Selain menggunakan mesin lathe, awda juga boleh mengimprovisasi langkah tersebut dengan menggunakan mesin gerudi. Tetapkan mesin gerudi menggunakan vise atau minta pertolongan seseorang untuk menekan punat mesin untuk mengerakkannya.

    Langkah merapikan permukaan kayu dalam hal ini boleh menggunakan pahat kayu biasa berbeza dengan penggunaan mesin lathe disebabkan tekanan yang dicipta ketika mesin berputar boleh merosakkan pahat kayu biasa sekali gus mendatangkan bahaya.

    Papan lapis yang telah dibulatkan dengan sempurna kemudiannya akan ditandakan kedudukannya menggunakan pita perekat pada salah satu permukaan sisi bagi memastikan kedudukannya tidak tertukar. Tiga kepingan papan dari bawah akan dijadikan satu dengan cara melekatkannya menggunakan gam kayu.

    Bagi memastikan kedudukannya selaras, kembalikan kepingan tersebut semula dengan menetapkan rod bahagian tengah dan dibantu dengan pengepit kayu. Biarkan gam mengering selama beberapa jam.

    Lima blok kayu bahagian tengah, pada langkah seterusnya akan ditebuk bahagian tengahnya bagi mereka ruangan untuk mentol lampu.

    Menggunakan mata gerudi berukuran 1 3/8” akan dengan mudah melaksanakannya.

    Selain menebuknya, kepingan kayu tersebut kemudiannya akan dibelah dua berfungsi sebagai engsel yang membolehkan ruangan tengah tersebut dibuka tutup.

    Teknik membelah di sini mungkin dirasakan agak merumitkan namun tidak mustahil dilakukan. Pertama tandakan bahagian tengah kedua-dua sudut menggunakan pembaris membentuk satu garisan.

    Salah satu garisan akan dipotong dengan cara bertingkat seperti dalam gambar. Manakala satu garisan yang ditandakan lagi akan dipotong terus.

    Bahagian bertingkat akan dipotongkan secara manual menggunakan gergaji dengan bilah nipis pada bahagian yang lurus. Manakala bahagian tengahnya pula akan dibelah menggunakan pahat secara berhati-hati.

    Langkah membentuknya menjadi engsel kemudiannya diikuti dengan membulatkan bahagian luaran kayu menjadi membulat menggunakan kertas pasir atau mesin khusus.

    Bagi menempatkan wayar mekanisme lampu, blok kayu yang terdiri daripada tiga kepingan papan akan ditebuk bahagian sisi (bawah). Selain itu, bahagian tengahnya juga akan dibesarkan ruangannya sesuai dengan ukuran soket lampu digunakan.

    Langkah seterusnya ialah menjadikan kepingan papan pada bahagian tengah boleh dibuka tutup dengan cara menempatkan rod loyang yang telah tersedia. Susun kepingan papan tersebut, tidak termasuk kepingan penutup atas, kemudian tetapkan kedudukannya menggunakan pita perekat.

    Setelah itu, sebuk salah satu sudut bahagian kayu yang dipotong bertingkat untuk membolehkan rod dimasukkan. Bagi bahagian penutup, awda boleh menetapkan kedudukannya pada rod (besi engsel) menggunakan gam besi.

    Sebagai langkah terakhir, permukaan rekaan akan disemburkan menggunakan cat lakuer bagi mengekalkan keaslian permukaan kayu.

    Cat berwarna juga boleh digunakan namun ia setentunya akan menyembunyikan ira-ira atau lapisan kayu yang mampu memperlihatkan teknik cantuman rekaan.

    Dengan langkah ini, awda kini boleh menikmati rekaan dalam ruangan yang diterangi dengan cahaya lampu hasil ciptaan dan titik peluh sendiri.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Empat kapal China didakwa masuk perairan larangan

    TAIPEI, 7 MEI - Taipei menggesa Beijing menghentikan tindakan yang membahayakan keselamatan susulan empat kapal pengawal pantai China belayar melalui perairan ‘terlarang’ Taiwan. China yang...