Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Kegigihan pemangkin semangat graduan untuk berjaya

    Salawati Haji Yahya
    Gambar serahan Graduan34

    Demi menggenggam segulung ijazah setentunya memerlukan kesabaran dan kekuatan mental dan fizikal di samping doa, usaha dan sokongan kedua ibu bapa dan keluarga serta pensyarah dan guru-guru.

    Meskipun terpaksa bersengkang mata untuk membuat tugasan dan penyelidikan dengan harapan yang tinggi pemangkin semangat untuk menggapai impian di akhir pengajian dan berpuas hati dengan pencapaian yang dimiliki.

    Itulah antara luahan daripada penerima Ijazah Sarjana, Mejar (B) Awang Sopian bin Haji Mohammad Yassin, yang merupakan salah seorang graduan separuh masa di Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat yang memulakan Sarjana Kerajaan (MOG) pada 2017 sejurus sebelum bersara daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

    Katanya lagi, “ini adalah sarjana kedua selepas sarjana pertama dalam Pentadbiran Perniagaan, pada tahun 2009-2011 dan program yang diikuti di pusat ini merupakan pengambilan pertama, yang mana para pelajarnya terdiri daripada profesional yang bekerja.”

    Tambahnya, beliau berminat untuk mengikuti kursus ini kerana ingin mengetahui lebih lanjut tentang penerapan Tadbir Urus Islam di tempat kerja.

    Mejar (B) Awang Sopian bersyukur sekali lagi berpeluang menggenggam segulung ijazah pada Majlis Konvokesyen UBD ke-34.
    Awang Mohd Haraz berkongsi kegembiraan bersama keluarga sejurus selesai majlis tersebut.

    Para graduan bergambar bersama sijil mereka pada Majlis Konvokesyen ke-34 Universiti Brunei Darussalam (UBD) di Dewan Canselor, UBD, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Selain itu, jelas beliau kursus ini juga menawarkan modul lain seperti Strategic Foresight Planning, Sistem Negara dan Pembelajaran Berasaskan Kerja untuk Inovasi dan Perubahan, yang mana secara keseluruhannya mengambil masa hampir lima tahun untuk menyelesaikan kursus ini.

    “Cabaran utama menjadi pelajar separuh masa ini adalah masa. Iaitu dari segi pembahagian masa di tempat kerja dan untuk membuat tugasan dan penyelidikan yang merupakan satu cabaran perlu di hadapi dengan penuh sabar. Untuk menghadapi semua cabaran ini, keluarga adalah tulang belakang yang sentiasa memberikan sokongan,” jelasnya.

    Ketika menjelaskan peranan pusat yang terletak di Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan (ILIA) UBD itu, beliau mengatakan pusat berkenaan memberikan peluang kepada pelajar berusia ‘mature’ dan profesional yang bekerja untuk meluaskan pengetahuan mereka dan berkongsi pengalaman dan kepakaran peribadi di tempat kerja dengan rakan sekerja mereka.

    “Minat untuk terus meneroka ilmu adalah kisah yang tidak ada penghujung dan yang paling penting, pemikiran dan idea bernas kita didokumentasikan. Masih tidak terlambat untuk belajar kerana setiap orang mempunyai latar belakang yang berbeza dan berkongsinya dalam suasana profesional dan formal sentiasa menjadi pengalaman yang bermanfaat,” jelas beliau.

    Sementara itu, Media Permata turut berkesempatan menemu bual seorang lagi graduan, Awang Mohd Haraz bin Samle, yang merupakan graduan dalam bidang pengurusan menjelaskan pendidikan sangat penting dalam kehidupan yang akan memacu masa depan.

    Beliau juga berharap akan mencari peluang-peluang untuk meningkatkan pendidikan dan meneroka bidang yang menjurus kepada kelulusan yang diperoleh ini. Tambahnya bidang pengurusan memang mempunyai peluang dan terbuka luas untuk diterokai.

    Dayang Nur Athirah binti Ayub, yang merupakan penerima Ijazah Sarjana da- lam bidang Sains ketika ditemu bual media menjelaskan melalui penyelidikan yang dibuatnya boleh menyumbang kepada teknologi hijau, di mana jelasnya penyelidikan yang dilakukan berkaitan dengan pemangkin yang digunakan khusus untuk menukar karbon dioksida kepada gas bahan api.

    “Pada masa ini, perkara yang hadapi daripada segi persekitaran iaitu terlalu banyak penghasilan karbon dioksida. Daripada pelepasan karbon dioksida yang berlebihan itu, sebenarnya boleh ditukar kepada produk berguna seperti metana kerana gas itu biasanya digunakan untuk bahan api dan penjanaan kuasa, dan metanol untuk produk petrokimia dan seumpamanya,” jelasnya

    Beliau turut berkesempatan menjelaskan di sebalik kejayaan ini adalah sokongan padu dari keluarga, suami, rakan-rakan dan penyelia yang sentiasa memberikan bantuan terutama kepada pensyarah-pensyarah beliau iaitu Dr Hazizan dan Dr Hanif.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...