Wednesday, May 8, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Kehidupan kembali normal di Mosul selepas pembebasan

    BAGHDAD – Lima tahun selepas bebas daripada kumpulan militan Islamic State (IS), kehidupan kembali normal di bandar kedua terbesar Iraq, Mosul.

    Gambaran lama Mosul yang menyakitkan telah berubah, runtuhan yang ditinggalkan oleh pertempuran sengit dengan militan IS secara beransur-ansur digantikan oleh aktiviti komersial yang berkembang pesat di banyak kawasan di bandar itu, di mana banyak pasar tradisionalnya yang terkenal kini dipenuhi dengan pelbagai produk dan pembeli boleh bersiar-siar dengan bebas tanpa rasa takut.

    Terletak kira-kira 400km ke utara ibu kota Baghdad, Mosul pernah dirampas oleh kumpulan IS pada Jun 2014 dan dibebaskan pada 10 Julai 2017 selepas sembilan bulan pertempuran sengit. Pertempuran meninggalkan kemusnahan besar pada bandar itu, terutamanya di pusat bandar lama.

    Duduk di kedai dagingnya di pasar al-Attareen di pusat bandar lama Mosul, Ali Saadi Alwan memberitahu Xinhua bahawa “perniagaan kami kini meningkat dua kali ganda daripada tahun sebelumnya, dan ramai pelanggan datang kepada kami. Secara umumnya, pasaran bertambah baik berkat kepada keselamatan dan pembinaan semula.”

    Seorang penjual menyusun sayur-sayurannya di pasar al-Attareen di bandar lama Mosul. – Xinhua

    Alwan berkata, keamanan yang sudah pulih membolehkannya membina semula rumahnya yang musnah di kawasan kejiranan al-Shahwan di pusat bandar lama.

    Sementara itu, kerja pembinaan semula sedang dijalankan di Masjid Agung al-Nuri, yang diletupkan oleh militan IS pada 21 Jun 2017. Masjid itu mempunyai nilai simbolik kepada penduduk Mosul kerana ia memberi nama jolokan kepada bandar itu ‘al-Hadbaa’ atau ‘si bongkok’ dengan menara senget yang terkenal.

    Omer Taqa, seorang jurutera Iraq di tapak pembinaan, memberitahu Xinhua bahawa “kami memulakan kerja pembinaan semula Masjid al-Nuri dan menara al-Hadbaa pada 2019, dan kami mengalihkan kira-kira 5,600 tan runtuhan, ditambah lagi 11 bahan letupan yang ditanam di dalam tembok masjid.”

    Pembinaan semula Mosul memerlukan AS$12 hingga AS$15 bilion, kata Datuk Bandar Mosul Amin al-Fanash, memetik laporan organisasi antarabangsa.

    “Mosul, terutamanya pusat bandar lama, musnah teruk akibat operasi tentera dan pengganas, kerana lebih 12,000 unit rumah musnah di bandar lama itu, dan kerosakan antara 80 hingga 100 peratus.” – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Pegawai Korea Utara bantu bina dinasti Kim meninggal dunia

    PYONGYANG, 8 MEI - Kim Ki Nam, ketua propaganda Korea Utara yang membantu membina kultus personaliti di sekitar tiga pemimpin dinasti negara itu, telah...