Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Bergotong royong laksana ibadah korban

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JULAI – Pelbagai pihak di negara ini giat bergotong-royong mengadakan majlis ibadah korban dalam sama-sama menyemarakkan lagi Hari Raya Aidiladha tahun ini.

    Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Kebajikan Mualaf) dengan kerjasama Persatuan Nurul Islam (PNI) dan Kelas Bimbingan Mualaf (KBM) Daerah Brunei dan Muara, hari ini, telah mengadakan majlis ibadah korban sunat kali ke-9 di mana empat ekor kerbau telah dikorbankan pada tahun ini.

    Daging-daging korban berkenaan diagihkan kepada golongan fakir dan miskin daripada kalangan mualaf Daerah Brunei dan Muara dengan majlis pengagihan berlangsung di PDI, Kampung Pulaie dan disempurnakan oleh Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh selaku tetamu kehormat majlis.

    Di Daerah Temburong, seramai 60 orang penduduk Kampung Sibut, menerima agihan daging korban pada majlis anjuran Urus Setia Program Keugamaan Belia, PDI dengan kerjasama Unit Dakwah Daerah Temburong.

    Majlis berlangsung di Balai Ibadat Kampung Sibut, Temburong di mana pengagihan daging korban disempurnakan oleh Haji Abdul Rajid selaku pengerusi bersama Program Keugamaan Belia.

    Haji Abdul Rajid mengagihkan daging korban kepada salah seorang penerima pada majlis yang diadakan di PDI, Kampung Pulaie.
    Haji Abdul Rajid menyampaikan daging korban pada majlis yang diadakan di Balai Ibadat Kampung Sibut, Temburong.
    Pengagihan daging korban kepada salah seorang penerima pada majlis di Masjid Ar-Rahman, Tanjong Bunut.
    Pengagihan daging korban dijalankan secara pandu lalu di Dewan Serba guna Sekolah Rendah Rimba I, RPN Kampung Rimba Gadong Kluster III.
    Pengiran Haji Nordin menyampaikan daging korban kepada salah seorang penerima pada majlis tersebut.
    Amalan bergotong-royong semasa majlis ibadah korban di Kampung Sungai Besar.

    Pagi tadi, Masjid Ar-Rahman Tanjong Bunut turut mengadakan majlis serupa di mana pengagihan daging-daging korban disempurnakan oleh Pemangku Ketua Kampung Tanjong Bunut, Haji Abdul Rahman bin Haji Jumat dan ketua imam masjid berkenaan, Awang Saufi bin Haji Suhaini.

    Para penerima agihan daging korban berkenaan terdiri daripada asnaf fakir miskin, ibu-ibu tunggal dan warga emas.

    Sementara itu, seramai 240 orang terdiri daripada golongan asnaf, fakir miskin dan penduduk Kawasan 4, RPN Kampung Rimba menerima agihan daging korban dalam majlis ibadah korban sunat ke-3 kampung berkenaan.

    Pada tahun ini, tiga ekor kerbau dikorbankan daripada 21 orang peserta ibadah korban.

    Pengagihan daging korban dijalankan secara pandu lalu di Dewan Serba guna Sekolah Rendah Rimba I, RPN Kampung Rimba Gadong Kluster III dan disampaikan oleh Pemangku Ketua Kampung Kawasan 4 RPN Kampung Rimba Gadong, Kapten (B) Haji Julkepli bin Haji Ibrahim, Haji Hassan bin Mohd Said dan Awang Rosli bin Haji Awang Damit.

    Manakala itu, lima ekor kerbau telah dikorbankan dalam majlis anjuran Jawatankuasa Masjid Kampung Sungai Besar, kelmarin, di mana daging-daging korban diagihkan kepada fakir miskin dan orang yang kurang berkemampuan di Kampung Sungai Besar dan sekitarnya.

    Pengagihannya telah di-sempurnakan oleh Penasihat Ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Kampung Sungai Besar, Haji Mohiddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Kelmarin, Persatuan Belia Kampung Lambak (PERBEKAL)juga mengungkayahkan majlis ibadah korban secara berkumpulan yang diadakan di Masjid Sufri Bolkiah Kampung Perpindahan Berakas, di mana tiga ekor kerbau telah dikorbankan dan diagihkan kepada 25 golongan asnaf fakir miskin.

    Agihan daging korban disampaikan oleh Penolong PERBEKAL, Pengiran Haji Nordin bin Pengiran aji Mahmud.

    Agihan daging korban turut diberikan kepada ahli-ahli PERBEKAL, AJK Takmir Masjid Sufri Bolkiah dan ahli-ahli Takmir Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar yang disampaikan oleh Pemangku Ketua Kampung Lambak B, Pengiran Jofri bin Pengiran Haji Zaidi selaku penasihat PERBEKAL dan Naib Yang Dipertua 1 PERBEKAL, Dayang Siti Seriana binti Haji Mohd Yusof.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    3 konsistensi Beijing dalam hubungan China, AS

    BEIJING, 26 APRIL - Menteri Luar China, Wang Yi mengulangi pendirian Beijing mengekalkan tiga konsistensi dalam mengendalikan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) hari ini. Wang...