Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Kekalkan amalan hijau demi bumi

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Khatib dalam khutbah Jumaat yang bertajuk ‘Menjaga Bumi dan Alam Sekitar’, hari ini, menjelaskan antara usaha dan cara yang boleh dilaksanakan untuk menjaga dan melindungi bumi dan alam sekitar ialah dengan memulakan amalan-amalan hijau dan mesra alam.

    “Antara amalan hijau yang boleh dilaksanakan itu adalah dengan mengubah gaya hidup kepada yang lebih mesra alam seperti mengamalkan tabiat mengitar semula, mengurangkan penggunaan elektrik berlebihan, menanam pokok untuk mengurangkan jumlah karbon dioksida di atmosfera dan mengambil serta membeli makanan secara tidak berlebihan supaya mengelak pembaziran makanan,” katanya.

    Selain itu, beliau juga menyeru untuk menjadi pengguna yang bijak yang boleh menentukan produk yang dihasilkan dan memilih untuk membeli produk hijau yang boleh diperolehi dan dihasilkan secara mesra alam dan mampan.

    Di samping itu, katanya, semua lapisan masyarakat perlu menyokong jenama atau produk mesra alam dengan menyertai aktiviti atau kempen berkaitan alam sekitar demi manfaat jangka panjang.

    Katanya lagi, ‘sudah tiba masanya untuk kita berganding bahu dalam memelihara kesihatan, memelihara dan melindungi keluarga dan kehidupan memerlukan alam sekitar yang bersih dan berdaya tahan’.

    Jika bersama melakukannya, bumi menjadi lebih bersih, mempunyai persekitaran kondusif dan sihat untuk didiami oleh seluruh manusia dan perlu diingat menjaga kebersihan itu merupakan sebahagian daripada iman.

    Hari Alam Sekitar Sedunia diraikan pada 5 Jun setiap tahun dan tema tahun ini, ‘Hanya Satu Bumi’ yang mana tema ini membawa pengertian, bumi yang didiami memerlukan penghuni yang bertanggungjawab.

    Sehubungan itu, khatib menyeru untuk terus memainkan peranan dalam melaksanakan tanggungjawab menjaga kebersihan dan melindungi alam sekitar dari apa juga bentuk pencemaran dan kekotoran.

    Dengan mengamalkan kebersihan dalam kehidupan, Negara Brunei Darussalam akan menjadi sebuah negara yang indah, bersih dan bebas daripada sebarang penyakit dan marabahaya.

    “Bumi adalah anugerah dan kurnia Allah yang amat bernilai kepada semua makhluk supaya kita dapat menjalani kehidupan di dalamnya,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...