Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Kendali kewangan secara berhemah

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan pindaan ke atas Perintah Perlembagaan (Prosedur Kewangan) (Pindaan) 2022 dan Peraturan-peraturan Kewangan 2022 yang akan mula berkuat kuasa pada 1 April ini.

    Semasa Istiadat Pembukaan Persidangan Musim Permesyuaratan ke-18 bagi Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini, Baginda juga menyentuh mengenai isu Tabung Amanah Pekerja (TAP).

    “Alhamdulillah Beta mengambil maklum bahawa kajian telah pun selesai dibuat oleh Kementerian

    Kewangan dan Ekonomi dengan kerjasama TAP dan insya Allah pelaksanaan penuh akan bermula pada tahun 2023.

    “Dalam pada itu, Beta sukacita menekankan bahawa segala persiapan sebelum pelaksanaannya hendaklah dilaksanakan dengan teratur, antaranya pindaan kepada akta, perubahan kepada sistem teknologi maklumat dan termasuk pemberigaan.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mengurniakan titah sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Musim Permesyuaratan ke-18 MMN yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis.

    “Apa yang penting bagi mereka yang terlibat dalam skim ini ialah untuk memahami berkenaan skim persaraan baharu yang dimaksudkan,” jelas Baginda lagi.

    Baginda terdahulu menekankan bahawa persidangan kali ini akan membincangkan Rang Belanjawan Negara Tahun Kewangan 2022/2023.

    “Rang ini telah pun ditunduki bersama-sama dengan kementerian-kementerian berkenaan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Belanjawan Negara. Oleh itu, semua projek yang disenaraikan sudah tentu mendukung perancangan strategik setiap kementerian dan jabatan yang berkenaan,” titah Baginda.

    Baginda juga mengingatkan kewangan negara hendaklah dikendalikan dengan berhemah dan berdisiplin.

    “Setiap pegawai pengawal yang dilantik hendaklah memahami perkara ini, bahawa mereka diminta untuk mematuhi peraturan-peraturan kewangan yang ada, tidak menggunakan kuasa berbelanja secara sewenang-wenang. Luruskanlah tabir urus masing-masing mengikut keutamaan, keperluan, tidak membazir dan dilaksanakan dengan teratur,” tekan Baginda.

    Baginda seterusnya bertitah, “Rancangan Kemajuan Negara (RKN) ke-11 akan berakhir pada Tahun Kewangan 2022/2023. Ini bererti, RKN ke-12 akan bermula pada bulan April 2023, di mana pada masa ini, Sekretariat Rancangan Kemajuan Negara di Kementerian Kewangan dan Ekonomi sedang giat menyediakan peta jalan bagi projek-projek yang akan dimasukkan ke dalam RKN ke-12 nanti.”

    Baginda bertitah bahawa peta jalan itu menerapkan kaedah whole of government yang melibatkan semua kementerian sebagai usaha untuk memastikan Wawasan Negara 2035 tercapai.

    Sementara itu, Baginda menekankan sejak gelombang kedua wabak koronavirus melanda negara, kerajaan Baginda telah menghulurkan bantuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana dengan tujuan untuk mengurangkan pekerja-pekerja diberhentikan.

    Manakala itu, bagi golongan pekerja sektor swasta yang terkesan, pula bantuan kewangan juga dihulurkan untuk kelangsungan hidup seharian mereka.

    Antara perkara yang menjadi pengajaran berikutan penularan wabak itu adalah mengenai jaminan makanan atau food security.

    “Berikutan dengan beberapa sekatan perjalanan yang masih dilaksanakan oleh sebahagian negara, maka langkah itu sedikit sebanyak telah menjejaskan kemasukan barang-barang makanan dan sekali gus menjadikan harga barangan dan kadar inflasi tinggi.

    “Negara Brunei Darussalam tidak terkecuali daripada menerima kesan yang sama. Namun alhamdulillah, Beta difahamkan, Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik di Kementerian Kewangan dan Ekonomi sedang aktif melaksanakan tindakan pemantauan harga sebagai langkah memastikan peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan pada paras yang tidak dibenarkan.”

    Baginda seterusnya bertitah bahawa pendapatan negara masih bergantung pada hasil minyak dan gas, namun usaha-usaha mengembangkan ekonomi bagi mengurangkan kebergantungan itu, telah pun mula menampakkan hasilnya, berupa jumlah eksport Refined Fuel melalui projek pelaburan langsung asing dari Januari 2021 hingga November 2021 bernilai AS$4.9 bilion.

    “Di samping itu juga, projek Brunei Fertilizer Industry telah mula mengeksport 6,200 tan metrik baja urea pada 3 Februari lalu.”

    Dengan kemasukan pelabur langsung asing ke negara, Baginda menambah, sudah setentunya akan membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada orang-orang dan syarikat-syarikat tempatan di mana ia semua memberi faedah signifikan kepada negara termasuk menambahkan hasil pendapatan.

    Sementara itu, usaha meningkatkan sara diri dalam sektor pertanian, agri-makanan, perikanan dan ternakan sedang diaktifkan.

    “Beta mengambil maklum bahawa perkara ini sedang dilaksanakan oleh kementerian berkenaan dengan meningkatkan keluaran daripada sektor pertanian dan perikanan.”

    “Pengeluaran beras tempatan pada khususnya, juga sudah mula menampakkan hasilnya dengan produktiviti peningkatan kapasiti rice milling. Insya Allah dengan terlaksananya projek ini nanti akan membantu para petani untuk lebih fokus kepada penanaman padi masing-masing.”

    Terdahulu Baginda Sultan bertitah bahawa Majlis Mesyuarat Negara sebagaimana pernah dititahkan, adalah merupakan wadah strategik untuk membahaskan perkara-perkara yang berkebajikan untuk rakyat dan negara.

    “Akhirnya, Beta berharap kepada ahli-ahli yang berhormat supaya bersedia memberikan buah fikiran dan pendapat masing-masing tanpa ragu-ragu dan walang demi kebaikan semata-mata.

    “Adapun negara, memang sentiasa menunggu idea-idea bernas daripada ahli-ahli yang berhormat.

    “Beta mahu, supaya digunakan peluang ini untuk mengemaskan mana-mana yang belum kemas dan menambah baik mana-mana yang masih perlu diperbaiki. Inilah moto persidangan kali ini,” tekan Baginda semasa mengakhiri titah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...