Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Kereta, sebahagian rumah musnah

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar serahan JBP

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Kereta, bahagian garaj dan sebahagian rumah jenis dua tingkat mengalami kerosakan dalam kejadian kebakaran rumah di Kampung Lambak A, pagi tadi.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, di sini, hari ini, lapan orang anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Lambak Kanan, Cawangan Operasi A yang diketuai oleh Pemangku DSO Haji Roslan bin Haji Bakir, dikejarkan ke insiden kebakaran rumah di Kampung Lambak A pada pukul 10:56 pagi.

    Apabila sampai di tempat kejadian, anggota bomba dan penyelamat, mendapati api besar membakar keseluruhan kereta lalu melarat ke bahagian garaj dan sebahagian rumah jenis dua tingkat yang keseluruhannya diperbuat daripada konkrit.

    Anggota bomba dan penyelamat segera bertindak memakai alat pernafasan dan memadam kebakaran menggunakan tujuh batang hos dan hos reel daripada tiga aliran air. Air diperoleh daripada tangki jentera bomba dan pili bomba yang berdekatan.

    Dalam kejadian berkenaan, tidak ada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

    Pegawai-pegawai bomba yang hadir di tempat kejadian ialah Pemangku Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi C, Pemangku SSFR Mohamad Sophian bin Haji Mohd Yusoff; Timbalan Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi C, Pemangku SSFR Haji Mustapa bin Haji Mohamad dan Stesen Komander Balai Bomba Lambak Kanan, Pemangku ASFR Yahya bin Haji Mohd Jali.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam kenyataannya menyarankan orang ramai supaya memastikan bangunan dilengkapi dengan alat pemadam api mudah alih jenis debu kering 2 kilogram dan selimut api, memastikan untuk menutup mana-mana suis peralatan elektrik selepas digunakan atau sebelum meninggalkan bangunan, memastikan kenderaan mereka dalam keadaan baik dan selamat secara keseluruhan sebelum digunakan serta sentiasa memastikan mana-mana pengubahsuaian atau penambahan sistem elektrik enjin, aksesori kereta dan pendawaian hendaklah mengikut piawaian yang betul oleh mekanik yang bertauliah.

    Kebakaran kereta yang melarat ke bahagian garaj dan sebahagian rumah jenis dua tingkat dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Lambak A.
    Anggota bomba memadamkan kebakaran di bahagian rumah.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    6 maut dalam kebakaran restoran, hotel

    PATNA, 26 APRIL — Kebakaran besar yang melanda sebuah restoran dan hotel di timur India kelmarin membunuh sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan 20 orang,...