Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Khasiat madu mampu tingkatkan imun tubuh badan

    Oleh Nurdiyanah R.

    Penularan wabak COVID yang masih berleluasa ketika ini pastinya membuatkan masyarakat lebih peka terhadap penjagaan kesihatan sebagai langkah pencegahan.

    Dalam usaha menitikberatkan pelbagai cara pencegahan seperti memakai pelitup muka, mencuci tangan dengan sabun atau menggunakan pensanitasi tangan serta melakukan penjarakan sosial, namun satu perkara yang kian menjadi perhatian juga ialah sesetengah orang mula berusaha untuk meningkatkan sistem imunisasi sebagai langkah sampingan bagi melindungi tubuh, yang mana salah satunya menerusi pengambilan madu secara harian.

    Sumber tenaga rawatan alternatif

    Madu adalah makanan yang sangat bernilai sebagai sumber makanan yang diperlukan oleh manusia kerana hampir semua madu mengandungi flavonoid, asid fenolik, asid askorbik, tokoferol, enzim serta pelbagai jenis vitamin dan mineral. Madu juga mengandungi pinocembrin iaitu satu antioksida yang membantu meningkatkan fungsi otak.

    Dalam Islam sendiri, pengambilan madu adalah disyorkan kerana madu merupakan salah satu makanan harian yang diamalkan oleh Rasulullah. Oleh sebab madu mempunyai pelbagai khasiat dan dianggap sebagai ibu segala makanan, maka tidak dinafikan madu digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional sebagai rawatan alternatif untuk pelbagai penyakit.

    Madu didefinisikan sebagai pemanis semula jadi yang dihasilkan lebah madu dari sari bunga atau nektar atau dari rembesan bahagian hidup tumbuhan, atau perkumuhan tumbuhan, dikumpulkan oleh lebah madu dan diubah, serta digabungkan dengan bahan spesifik dalam lebah madu sehingga matang.

    Mengamalkan pengambilan madu setentunya dapat memberikan khasiat tertentu kepada badan.

    Madu boleh disapu pada roti, dicampur dengan jus, pelbagai jenis minuman atau dicampur dengan herba untuk dijadikan ubat.
    Sifat madu seperti warna, aroma, rasa dan ketumpatan madu serta komposisi kimia madu bergantung kepada jenis nektar bunga yang dihisap lebah madu, keadaan cuaca dan pemprosesan madu.

    Secara umum, madu boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu madu monoflora, dan poliflora. Madu monoflora ialah madu yang dihasilkan dari nektar sejenis bunga saja seperti madu akasia, madu sidr dan madu manuka sebagaimana usaha lebah madu yang mengambil nektar daripada pokok akasia, sidr dan manuka sahaja.

    Sementara itu, madu poliflora atau dikenali sebagai madu multiflora pula ialah madu yang dihasilkan lebah madu yang mengambil nektar dari pelbagai jenis bunga. Antara jenis madu ini ialah madu tualang dan madu asli.

    Sifat madu seperti warna, aroma, rasa dan ketumpatan madu serta komposisi kimia madu bergantung kepada jenis nektar bunga yang dihisap lebah madu, keadaan cuaca dan pemprosesan madu. Komposisi utama madu ialah gula, iaitu antara 95 hingga 97 peratus berat kering madu. Gula utama dalam madu ialah daripada fruktosa dan glukosa.

    Tersimpan khasiat semula jadi

    Apa yang menyebabkan madu amat popular adalah kerana ia mudah untuk dimakan. Ia juga boleh disapu pada roti, dicampur dengan jus, pelbagai jenis minuman atau dicampur dengan herba untuk dijadikan ubat.

    Pada dasarnya, mengamalkan pengambilan madu setentunya dapat memberikan khasiat tertentu kepada badan.

    Walaupun madu mengandungi lebih kalori daripada gula apabila diambil bersama air, ia dikatakan mampu membantu mencerna lemak yang tersimpan dalam tubuh. Begitu jugalah dengan madu yang dicampur dengan jus lemon dalam membantu mengurangkan berat badan.

    Satu sudu madu mengandungi 64 kalori, namun begitu ia banyak digunakan sebagai sumber tenaga. Madu mengandungi pelbagai jenis vitamin dan mineral serta kuantitinya bergantung pada jenis bunga yang digunakan dalam pemeliharaan lebah. Biasanya madu mengandungi vitamin C, kalsium dan zat besi.

    Sifat antibakteria dan antikulat yang terdapat dalam madu menyebabkan ia sering digunakan sebagai antiseptik semula jadi dalam perubatan tradisional. Madu mengandungi nutraceutical yang amat berkesan dalam membuang radikal bebas daripada tubuh.

    Selain itu, madu boleh disapu pada luka dan masalah kulit terbakar. Dikatakan kesan gula ringkas yang kering dan antibakteria dalam madu boleh membantu dalam merawat masalah ini.

    Ia juga sebagai probiotik yang mana sesetengah jenis madu mengandungi sejumlah bakteria baik termasuklah enam spesies lactobacilli dan empat spesies bifidobacteria. Sifat antibakteria amat berguna untuk kulit dan apabila digunakan dengan bahan-bahan lain, ia boleh memberikan kesan lembap dan menyuburkan.

    Madu mengandungi flavonoid, sejenis antioksidan yang membantu dalam mengurangkan risiko sesetengah penyakit kanser dan jantung. Dalam pada itu, madu juga mengandungi demulsen (bahan ubat melegakan) yang dapat melegakan kerengsaan pada mulut atau tekak.

    Manakala antioksidan yang terdapat dalam madu mampu membantu mencegah kerosakan selular dan masalah ingatan pada otak.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...