Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    KHEU rai 33 graduan cemerlang 2019-2021

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Seramai 33 orang graduan cemerlang yang telah mengikuti pengajian di institusi-institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara serta menamatkan pengajian pada 2019 hingga 2021 telah diraikan pada Majlis Penghargaan dan Doa Kesyukuran Graduan Cemerlang  Biasiswa Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) tahun 1444H/2022M, hari ini. 

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Royal Berkshire Hall Tarindak D’Polo, Royal Brunei Polo &  Riding Club Jerudong itu ialah Menteri Hal Ehwal
    Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Majlis itu diadakan untuk memberi penghargaan atas pencapaian yang telah diperolehi oleh para graduan setelah menamatkan pengajian dalam bidang dan jurusan masing-masing. 

    Pengarah Pengajian Islam, Haji Shamshol bin Haji Omar dalam ucapan alu-aluannya selaku pengerusi majlis berkata, majlis berkenaan julung kalinya diadakan oleh Jabatan Pengajian Islam (JPI) selaku Urus Setia Jawatankuasa Biasiswa KHEU.

    Objektifnya adalah sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas kejayaan para graduan yang diraikan dan seterusnya memberi pengiktirafan kepada kecemerlangan
    akademik dan usaha gigih khususnya di sepanjang pengajian yang telah diikuti.

    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyampaikan penghargaan kepada para graduan cemerlang yang diraikan pada majlis yang berlangsung di Royal Berkshire Hall Tarindak D’Polo, Royal Brunei Polo &  Riding Club Jerudong, kelmarin.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bersama antara jemputan yang hadir pada majlis tersebut.

    Beliau menjelaskan, graduan-graduan yang dipilih untuk menerima anugerah terdiri daripada tujuh orang graduan yang telah mengikuti pengajian di Jordan iaitu seorang di peringkat sarjana dan enam di peringkat sarjana muda.

    Seorang graduan telah mengikuti pengajian di United Kingdom, dua telah mengikuti pengajian di Malaysia; 17 orang graduan dari Universiti Al-Azhar Republik Arab Mesir; tiga graduan mengikuti pengajian di Maahad Qiraat Shoubra, Republik Arab Mesir dan tiga lagi mengikuti pengajian di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).

    Tujuh daripada 33 orang graduan yang diraikan telah mencapai keputusan kelas pertama di peringkat sarjana muda dalam bidang Kewangan Islam, Matematik, Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko, Tahfiz dan Qiraat, Syariah dan Bahasa Arab, jelasnya lagi.

    Di samping itu, lapan orang graduan telah pun berkhidmat secara tetap iaitu seorang bertugas di Jabatan Perdana Menteri; seorang di Darus-salam Assets dan enam orang lagi bertugas di beberapa buah jabatan di bawah KHEU.

    Sebahagian graduan pula sedang mengikuti pengajian di peringkat lanjutan bagi meninggikan tahap kelulusan masing-masing.

    Majlis juga diteruskan dengan tayangan klip video ucapan wakil-wakil graduan sebelum diikuti dengan penyampaian penghargaan kepada para graduan oleh tetamu kehormat majlis dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...