Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Kisah rakyat Malaysia warnai pembukaan semula sempadan

    JOHOR BAHRU – Pelbagai cerita rakyat Malaysia yang baru pulang dari Singapura mewarnai dan menghidupkan semula Tambak Johor yang ‘sepi’ sejak dua tahun lamanya apabila sempadan negara ditutup pada 18 Mac 2020.

    Solidariti terpancar dalam kalangan warga tempatan apabila ada yang menyanyikan lagu Negaraku dan ada bersorak kegembiraan menyambut kepulangan mereka sebaik sahaja detik 12 tengah malam.

    Bagi R.Suresh, seorang bapa tunggal berusia 49 tahun, pertemuan semula dengan empat orang anaknya adalah detik paling dinantikannya selama ini.

    Drama ‘jejak kasih’ bersama anak bongsunya John Damscene Rau, 20, di sebuah stesen minyak berdekatan laluan keluar Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Bukit Chagar, mencuri perhatian orang ramai yang turut berkumpul di situ.

    “Saya sangat gembira. Saya sudah kembali ke pangkuan keluarga. Saya menghargai usaha kerajaan – polis, kastam, kerana menjalankan tugas dengan sangat baik (malam ini). Mereka membantu dan melayan kami dengan baik sekali,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di stesen minyak, dekat sini, selepas tiba di kastam Malaysia dari republik itu dengan berjalan kaki.

    Datuk Mohamed Salibu (empat, kiri) bersama isteri disambut oleh anak dan cucu-cucunya sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Chennai, India. – Bernama
    Lee Chong Seng yang bekerja di Singapura tidak pulang ke kampungnya sejak 2020 berikutan pandemik COVID memeluk dan mencium ibunya Woo Giak Nai diperhati oleh bapanya Lee Kooi Song ketika menyambut beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP). – Bernama
    Ng Hou Jun yang baru tiba dari Melbourne, Australia meluahkan rasa gembira. – Bernama
    Gelagat seorang anak kecil yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). – Bernama
    Orang ramai mula berpusu-pusu merentasi Tambak Johor apabila sempadan Malaysia-Singapura dibuka tepat pada pukul 12 pagi. – Bernama

    Menurut Suresh yang bekerja sebagai pegawai sumber manusia berkata kehidupan selama dua tahun dengan kos sara hidup amat tinggi menyebabkan dia tidak sabar untuk pulang dan bercadang untuk meluangkan masa bersama keluarga untuk makan bersama dan mengunjungi tempat yang sudah lama tidak dilawati.

    Sementara itu, Fajrul Rizal Abu Bakar yang sudah dua tahun tidak pulang sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020, mahu mendakap ibu dan bapa, serta merasa air tangan ibunya yang sangat dirindui.

    Pemuda berusia 28 tahun itu antara kumpulan pertama yang terkandas di Singapura apabila PKP dilaksanakan.

    Dia yang juga berjalan kaki dari Singapura, sempat membuat Facebook Live bagi memberi gambaran jelas kepada rakyat Malaysia ke Singapura yang didakwanya masih teragak-agak untuk pulang kerana bimbang mengenai prosedur operasi standard (SOP).

    “… kerajaan dah buat yang terbaik untuk kita semua, untuk balik. Alhamdulillah, hari ini kami semua balik dan proses untuk balik sama macam dulu. Kalau orang cakap jangan dengar, dah lalui semua proses…lancar,” katanya yang berasal dari Pasir Gudang.

    Warga Singapura Rosnah Din, 62, tidak dapat menahan sebak setelah akhirnya berpeluang berjumpa ahli keluarganya di Bukit Pasir, Muar selepas kali terakhir bertemu dengan ahli keluarnya pada Aidilfitri 2019.

    “Sebelum ini ada kematian ahli keluarga di Singapura, yang di Malaysia tidak dapat datang, kemudian ada yang sakit di Malaysia, di Singapura tidak dapat nak ziarah. Apabila dapat peluang macam ini, kita tidak mahu lepaskan peluang baik. Alhamdulillah, kedua-dua pintu masuk lancar,” katanya yang telah kehilangan tiga ahli keluarga sepanjang dua tahun ini.

    “Suasanalah…sebab kita selalu (ke sini) kebanyakan adik-beradik saya separuh di sini… daripada sini.. mak saya pun daripada sini, Muar. Jadi, apabila kita dapat bertemu, macam dapat melepaskan rindulah,” katanya yang turut ditemani abang dan anak perempuannya.

    Pada 25 Mac lepas, Malaysia dan Singapura menerusi kenyataan bersama mengumumkan bersetuju untuk membuka sepenuhnya sempadan darat bagi pengembara telah lengkap vaksinasi mulai hari ini, selaras dengan Fasa Peralihan ke Endemik. Selain itu, juga membenarkan pengembara telah lengkap vaksinasi, untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19, termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan.

    Sementara itu di Sepang, umpama memenangi tiket loteri, kata seorang pemuda dari Klang, Selangor, yang berkongsi perasaannya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Melbourne, Australia di sini.

    Ng Hou Jun, 26, yang bekerja sebagai jurutera perisian di negara itu berkata selepas hampir dua tahun tidak pulang ke Malaysia lantaran pandemik COVID yang melanda dunia, perasaan gembira itu sukar digambarkan dengan kata-kata. Beliau berkata walaupun sebelum ini kerajaan Malaysia membenarkan warga tempatan yang berada di luar negara untuk pulang ketika sempadan negara ditutup bermula Mac 2020, keperluan menjalani kuarantin bagi tempoh lama dirasakan agak membebankannya, lantaran itu Ng membuat keputusan untuk tidak balik ke tanah air.

    “Apabila saya akhirnya bersedia untuk menjalani kuarantin (sebaik tiba di Malaysia), pada 1 Mac lepas saya dan rakan wanita membeli tiket bertarikh 1 April 2022.

    “Pada 8 Mac saya baca dalam media sosial kerajaan bersetuju membuka sempadan negara dan memansuhkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) antaranya keperluan kuarantin, saya rasa sangat gembira. Rasa macam menang loteri,” katanya kepada Bernama di sini.

    Ng berkata beliau dan rakannya akan bercuti selama sebulan di Malaysia sebelum kembali semula ke Australia.

    “Perancangan kami di Malaysia untuk melawat ahli keluarga dan rakan-rakan yang sudah lama tidak berjumpa. Kami juga tak sabar nak ke (restoran) mamak makan roti telur dan nasi lemak yang kami rindukan,” katanya. Bagi pengusaha restoran nasi kandar Mohamed Shafiq Riswan Waris, 25, kerinduan terhadap datuk, nenek, emak dan pak cik saudara yang dipendam selama hampir setahun, terlerai sudah.

    Sebaik datuknya, Datuk Mohamed Salibu, melangkah keluar dari Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA, Mohamed Shafiq bersama empat sepupunya terus meluru ke sana dan memeluk lelaki itu yang baru tiba dari Chennai, India kira-kira pukul 6.30 pagi tadi. “Datuk pergi ke India untuk berubat masalah buah pinggangnya dan sejak itu kami terpisah, hanya telefon menjadi penghubung kami.

    “Sepanjang ketiadaan datuk, saya bersama ahli keluarga yang lain berusaha sedaya upaya menguruskan beberapa restoran datuk yang ada di Johor Bahru dan Melaka,” katanya yang tidak sabar untuk menyambut Ramadan bersama-sama datuknya nanti. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...