Saturday, May 18, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Kolaborasi, perkongsian pacu inovasi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MEI – Inovasi merupakan elemen utama bagi memacu pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

    Ia tidak terhad kepada ciptaan baharu sahaja tetapi juga merangkumi ciptaan yang dapat menyelesaikan masalah atau memperbaiki penyelesaian serta menangani cabaran-cabaran yang dihadapi dan menjana nilai kepada masyarakat dan negara.

    Untuk mencapainya, ia memerlukan kerjasama dan kolaborasi ekstensif dalam pengalaman, idea dan membina rangkaian serta hubungan yang lebih baik untuk memacu masa depan lebih cerah, kata Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI), Ir Haji Jailani bin Haji Buntar (gambar) dalam ucaptama Simposium Inovasi UNN di Mutiara Ballroom, Hotel Radisson di sini, hari ini.

    Menurutnya, dengan Negara Brunei Darussalam berhasrat untuk menjadi sebuah Negara Pintar, keperluan bagi transformasi digital dan inovasi menjadi semakin mustahak di mana ia telah diketengahkan dalam Pelan Induk Ekonomi Digital 2025 yang dilancarkan pada Jun 2020.

    Beliau berkata bahawa pelbagai kementerian dan agensi-agensi relevan sedang berusaha untuk mencapai rancangan transformasi digital mereka bagi merealisasikan matlamat-matlamat Negara Pintar.

    Semua itu, ulasnya, membawa peluang yang amat besar bagi inovasi di mana persoalannya adalah bagaimana bersedianya kita untuk memacu inovasi dengan ekosistem yang bukan sahaja merangkumi kerajaan dan industri yang sedia ada tetapi juga masyarakat, komuniti dan bakat. Oleh itu, adalah penting supaya kita dilengkapkan dengan usaha perkembangan yang betul supaya dapat menerima perubahan dalam perjalanan digital kita kerana ia akan menjadi kunci yang membolehkan kita mencapai matlamat
    transformasi digital.

    Salah satu usaha berterusan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi
    serta AITI, jelas Ir Haji Jailani lagi, dalam menggalakkan dan menyokong inovasi di peringkat akar umbi, Anugerah Teknologi Info-Komunikasi Brunei (BICTA) merupakan sebuah pertandingan ICT tahunan yang bertujuan untuk merangsang kreativiti dan inovasi dalam ruang digital dalam kalangan pihak industri, pelajar, individu dan organisasi.

    Di samping itu, mereka juga menekankan pentingnya untuk membangunkan aplikasi digital inovatif yang boleh dihasilkan dan dikekalkan dengan sokongan bakat-bakat tempatan.

    Oleh itu, AITI sedang membuat usaha berterusan membina aplikasi digital inovatif untuk memupuk minat beliau dalam pengekodan dan meningkatkan lagi keupayaan pemprograman dan pemikiran pengiraan.

    Pada 2021, AITI telah melancarkan Coding.bn sebagai sebuah platform untuk melatih dan melengkapkan pencari pekerjaan belia ICT dengan kemahiran pemprograman yang diperlukan oleh industri serta melengkapkan mereka dengan kemahiran masa hadapan. Ir Haji Jailani turut mengetengahkan peranan penting kesalinghubungan sebagai tulang belakang yang membolehkan sebuah Negara Pintar. Melengkapkan negara dengan teknologi dan kesalinghubungan yang betul akan membolehkan Brunei untuk melangkah ke dalam sebuah ekonomi digital yang akan berterusan menghubungkan mesin dan orang ramai dalam kehidupan harian mereka. Dengan negara bersiap sedia untuk melancarkan rangkaian 5G, AITI bersama industri telekomunikasi pada 2021 telah melaksanakan sebuah kajian mengenai ketersediaan pasaran 5G di Brunei Darussalam dengan antara hasil cadangan dasar adalah termasuk ketersediaan operator rangkaian dan pengawalseliaan, prospek spektrum dan peruntukan.

    AITI juga telah bekerjasama dengan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), baru-baru ini, bagi membangunkan Profil Inovasi Digital Brunei Darussalam yang bertujuan untuk menyediakan penilaian mendalam kematangan dan ekosistem inovasi ICT negara.

    Kajian yang telah siap dilaksanakan pada awal 2023 itu membolehkan mereka untuk mengenal pasti peluang-peluang dalam meningkatkan ekosistem inovasi tempatan kita yang boleh mempercepatkan transformasi digital. Hasil daripada kajian berkenaan, antara lain, mengetengahkan perlunya untuk menumpukan kepada menjana sinergi yang menggabungkan inovasi dinamik, kapasiti inovasi dan inovasi sektor-sektor utama dengan strategi merentas menerusi tindakan-tindakan yang mengukuhkan hubungan dan pengetahuan dalam ekosistem berkenaan.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...