Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Korea Selatan lancar pengorbit bulan pertama

    SEOUL, 5 OGOS – Pengorbit bulan pertama Korea Selatan berjaya dilancarkan dalam misi selama setahun untuk memerhatikan bulan, kata Seoul hari ini, dengan beban muatan termasuk rangkaian baharu untuk menghantar data dari angkasa lepas.

    Korea Pathfinder Lunar Orbiter itu digelar Danuri, bermakna ‘Bulan’ dan ‘nikmati’ – diletak dalam roket Falcon 9 yang dilancarkan dari Cape Canaveral di Florida oleh syarikat aeroangkasa Elon Musk SpaceX. Ia berhasrat sampai ke bulan pada pertengahan Disember.

    “Danuri berlepas pukul 8:08 pagi hari ini,” kata kementerian sains Seoul, berkongsi video mengenai roket yang berlepas dengan meninggalkan kepulan asap dan api di pusat pelancaran.

    Danuri ‘berjaya memasuki orbit menuju ke bulan,’ beritahu timbalan menteri sains Seoul, Oh Tae-seok kepada wartawan hari ini, berkata penyelidik telah pun berkomunikasi dengan Danuri menerusi antena angkasa NASA di Canberra, Australia.

    “Analisis maklumat satelit yang diterima mengesahkan panel solar Danuri dilipat dengan betul untuk memulakan penghasilan tenaga,” kata beliau, menambah segala-galanya kelihatan berjalan lancar.

    Danuri akan menggunakan enam alat berlainan, termasuk kamera amat sensitif yang disediakan NASA, untuk menjalankan penyelidikan, termasuk menyiasat permukaan bulan untuk mengenal pasti tapak pendaratan berpotensi. Salah satu alat akan menilai ketahanan gangguan, rangkaian komunikasi angkasa, yang menurut kementerian sains Korea Selatan, merupakan yang pertama di dunia.

    Danuri juga akan berusaha membangunkan persekitaran Internet wayarles untuk menghubungkan satelit atau kapal angkasa peninjau, kata Seoul.

    Saintis juga berharap Danuri akan menemui sumber tersembunyi air dan ais di kawasan bulan, termasuk kawasan gelap dan sejuk berdekatan kutub. – AFP

    Orang awam menonton di depan kaca televisyen yang menyiarkan gambar pelancaran roket Falcon 9 bersama pengorbit bulan pertama Korea Selatan Danuri dari Cape Canaveral di Florida, di sebuah stesen kereta api di Seoul, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...