Sunday, May 19, 2024
28.2 C
Brunei

    -

    KUPU SB hayati bulan Ramadan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Bagi memeriahkan lagi bulan Ramadan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah mengadakan program Ihya Ramadan di suraunya, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang dimulakan dengan pembukaan tadarus bulan Ramadan itu ialah Raes KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar yang turut menyampaikan Tausiah Ramadan.

    Beliau antara lain membincangkan mengenai kepentingan mengambil makanan-makanan sihat khususnya yang dinyatakan di dalam Al-Quran seperti susu, madu dan kurma sepanjang menjalankan ibadah puasa serta mengamalkan ibadah-ibadah sunnah serta adab yang baik pada bulan yang sangat istimewa ini.

    Beliau turut mengingatkan untuk sentiasa menjaga adab sama ada di dalam masjid mahupun di majlis-majlis tahlil sebagai contoh tidak mengganggu orang sekeliling yang sedang khusyuk bermunajat kepada Allah SWT.

    Selanjutnya, beliau memesankan untuk menikmati keindahan bulan Ramadan ini dengan meningkatkan rasa sabar dan muhasabah. Dengan objektif untuk menyemarakkan aktiviti-aktiviti keagamaan di sepanjang bulan Ramadan dan mengeratkan ikatan silaturahim dalam kalangan warga KUPU SB, ia menggalakkan warga KUPU SB untuk menghayati dan mencintai bulan suci Ramadan yang penuh dengan nikmat kerahmatan serta keampunan.

    Dr Haji Adanan semasa menyampaikan Tausiah Ramadan di KUPU SB.
    Majlis didahului dengan aktiviti bertadarus Al-Quran.

    Terdahulu, majlis tadarus Al-Quran dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah beramai-ramai dan dilanjutkan dengan bacaan surah Baqarah ayat 1 hingga 23 dipimpin oleh Awang Mohd Haikal bin Minen, pelajar Tahun 3 program Diploma Tertinggi Perguruan Ugama.

    Perkongsian hadis disampaikan oleh Dayang Nur Afiqah binti Ali dari Fakulti Syariah, manakala, Doa KUPU SB dibacakan oleh Awang Muhammad Hadi Shahril bin Haji Mesli, pelajar Tahun 2 program Sarjana Muda Perguruan Ugama.

    Antara acara yang akan dilaksanakan dalam program Ihya Ramadan itu termasuk solat sunat Tarawih dan Witir di surau KUPU SB dan barakah Ramadan 1444H/2023M di keempat-empat daerah.

    Dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar melalui Unit Kerohanian KUPU SB, Ihya Ramadan antara lain bertujuan untuk menyemai ketakwaan dalam kalangan warga KUPU SB dalam bulan penuh dengan kerahmatan dan mengambil iktibar perkara yang berkebajikan daripada perilaku yang diamalkan oleh Rasulullah SAW dalam bulan ini supaya dapat diaplikasikan dalam bulan-bulan seterusnya.

    Turut hadir ialah pegawai-pegawai utama, para pensyarah dan kakitangan serta mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Tiada peralihan tenaga tanpa China- CEO Siemens Energy

    BEIJING, 19 MEI - Peralihan tenaga tanpa China tidak berfungsi, Christian Bruch, ketua pegawai eksekutif (CEO) Siemens Energy, memberitahu pemberita minggu ini, sambil menegaskan...