Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Ladang kurma selamatkan ikon kebanggaan Iraq

    KARBALA, IRAQ – Beribu-ribu pokok kurma muda, simbol kebangsaan Iraq, membentuk garisan yang memanjang dari pinggir padang pasir berhampiran bandar tengah Karbala.

    Pokok-pokok berharga Iraq itu merupakan teras kepada usaha yang bertujuan untuk mengekalkan budaya nenek moyang mereka yang telah lama terancam, buahnya dari segi sejarah memberi kemakmuran di seluruh dunia Arab.

    “Pohon kurma adalah simbol dan kebanggaan Iraq,” kata Mohamed Abul-Maali, pengarah komersial di ladang kurma Fadak.

    Pernah dikenali sebagai ‘negara 30 juta pokok kurma’, dan mempunyai 600 jenis buah-buahan, pengeluaran kurma Iraq telah terjejas akibat konflik dan cabaran alam sekitar selama berdekad-dekad, termasuk kemarau, penggurunan dan salinasi.

    Ladang Fadak, mendapat namanya daripada sebuah oasis yang dipenuhi kurma di tengah-tengah asal-usul Islam, iaitu sebuah ladang seluas 500 hektar yang dikendalikan berdekatan Makam Imam Hussein di bandar suci Karbala.

    Ahmad al-Awad menuai kurma dari salah satu pokok kurmanya di bandar Basra, selatan Iraq. – AFP
    Aman memanjat pokok untuk menuai kurma di bandar Badra di wilayah Wasit di timur Iraq berhampiran sempadan Iran. – AFP
    Jurutera pertanian Iraq, Alaa al-Badran menggunakan telefonnya untuk menangkap gambar pokok kurma yang rosak berhampiran laluan air Shatt al-Arab. – AFP
    Kelihatan sebuah kebun kurma yang subur bersebelahan dengan yang musnah berhampiran laluan air Shatt al-Arab di bandar Basra. – AFP
    Pokok kurma yang musnah berhampiran laluan air Shatt al-Arab di bandar Basra di selatan Iraq. – AFP

    Abul-Maali berharap projek yang dilancarkan pada 2016 itu, akan ‘mengembalikan budayanya seperti dahulu’.

    Kebun itu adalah repositori untuk ‘lebih daripada 90 jenis kurma Iraq tetapi juga spesies kurma Arab’, dari Teluk dan Afrika Utara, tambahnya.

    Varieti Iraq adalah antara ‘yang paling jarang dan terbaik’ dan dikumpulkan dari seluruh negara.

    Daripada 30,000 pokok yang ditanam di Fadak, lebih 6,000 sudah mengeluarkan buah, menurut Abul-Maali. Beliau menjangkakan hasil tuaian tahun ini mencecah 60 tan, peningkatan tiga kali ganda pada 2021.

    Deretan pokok baharu di ladang Fadak amat berbeza dengan keadaan ladang di bahagian lain di negara itu.

    ‘Seperti tanah perkuburan’
    Pemandangan di Fadak dengan pokok-pokok yang disiram dengan baik adalah berlainan dari wilayah Basra, yang pernah menjadi pusat pengeluaran kurma di selatan Iraq. Di sini landskap dipenuhi dengan batang pokok kurma yang telah dicantas.

    Di kawasan Shatt al-Arab, di mana sungai Euphrates dan Tigris bertemu, Baghdad memusnahkan seluruh kawasan semasa perang 1980-88 dengan Iran.

    Selalunya batang pokok kurma yang ditebang digunakan untuk mengisi dan menimbus saluran pengairan yang telah kering dan tidak digunakan.

    “Ia kelihatan seperti tanah perkuburan,” kata jurutera pertanian Alaa al-Badran.

    Menurutnya, jumlah pokok kurma di kawasan itu telah menurun daripada enam juta, sebelum perang Iraq dan Iran, kepada kurang daripada tiga juta hari ini. Kini ‘pemasinan air dan tanah Shatt al-Arab’ menimbulkan cabaran yang lebih besar, kata Badran.

    “Penyelesaiannya ialah sistem pengairan titisan dan penyahgaraman. Tetapi kosnya agak mahal,” kata Ahmed al-Awad, yang keluarganya pernah memiliki 200 pokok kurma di kawasan itu tetapi kini hanya mempunyai 50 pokok yang tinggal.

    Kementerian pertanian Iraq mendakwa beberapa kemajuan dalam menangani kemerosotan pengeluaran kurma.

    “Dalam 10 tahun kebelakangan ini kami telah kerugian daripada 11 juta kepada 17 juta pokok kurma,” kata Hadi al-Yasseri, jurucakap menteri itu.

    Program kerajaan untuk menyelamatkan pokok kurma telah dilancarkan pada 2010, tetapi lapan tahun kemudian ia ditangguhkan kerana kekurangan dana, kata Yasseri.

    Tetapi beliau menjangkakan ia akan dilancarkan semula, kerana dana baharu akan dimasukkan dalam bajet kerajaan akan datang.

    Permintaan meningkat
    Menurut angka rasmi, Iraq mengeksport hampir 600,000 tan kurma pada 2021.

    Buah itu merupakan komoditi eksport kedua terbesar negara selepas minyak, menurut Bank Dunia.

    “Memandangkan permintaan global semakin meningkat, inisiatif berterusan di Iraq untuk meningkatkan kualiti harus diteruskan,” kata laporan Bank Dunia baru-baru ini.

    Walaupun eksport meraih AS$120 juta setiap tahun hasil negara, organisasi itu mengeluh kerana kebanyakan tanaman Iraq dijual kepada Emiriah Arab Bersatu, di mana kurma dibungkus semula dan dieksport semula untuk harga yang lebih tinggi.

    Di bandar Badra, di sempadan timur Iraq dengan Iran, rungutan adalah perkara biasa. Kesan peperangan jelas kelihatan di antara pokok-pokok kurma yang dicantas.

    Selama lebih sedekad, para pegawai mengadu kekurangan bekalan air, dan menuduh Iran melakukan lencongan di hulu Sungai Mirzabad, yang dikenali sebagai Al-Kalal.

    “Kurma Badra tiada tandingannya,” kata Mussa Mohsen yang memiliki sekitar 800 pokok kurma.

    “Sebelum ini, kami mempunyai air dari Al-Kalal yang datang dari Iran,” katanya.

    “Badra adalah seperti laut tetapi sekarang untuk mengairi kami bergantung kepada perigi.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...