Saturday, April 27, 2024
24.5 C
Brunei

    -

    Ginting tawan Terbuka Singapura 2022

    SINGAPURA, 18 JULAI – Pemain badminton perseora-ngan lelaki Indonesia, Anthony Ginting menamatkan kemarau kejuaraan selama dua tahun selepas menewaskan Kodai Naraoka dari Jepun 23-21, 21-17 dalam perlawanan akhir untuk memenangi Terbuka Badminton Singapura kelmarin.

    Selepas menumbangkan juara dunia, Loh Kean Yew pada separuh akhir sebelum ini, Ginting yang juga pemain nombor enam dunia, terus mempamerkan gaya serangan yang sama untuk mematikan rentak permainan Naraoka.

    Perjalanan pemain nombor 43 dunia itu ke final menyaksikan kemenangan yang mengejutkan pemain nombor lapan dunia, Jonathan Christie, H.S. Prannoy dari India dan Zhao Jun Peng dari China. Kesemua lawannya berada di kedudukan lebih tinggi daripadanya.

    Dalam pertemuan buat kali pertama kelmarin, Ginting beraksi cemerlang di awal permainan dengan mendapatkan mata menerusi gerakan dan serangan pantasnya.

    “Saya tahu saya perlu mengatur rentak yang sangat pantas untuk mengganggu pergerakan dan rentaknya. Saya perlu mendapatkan posisi yang baik yang akan memberi saya beberapa pilihan sama ada untuk menyerang atau menghampiri jaring dengan cepat,” kata Ginting.

    Naraoka seterusnya tampil gagah pada perlawanan kedua dengan mendahului lima mata berturut-turut.

    Tetapi serangan ganas Ginting dan permainan jaring yang penuh helah telah menyaksikan dia menyamakan kedudukan 17-17 dan akhirnya memenangi perlawanan kedua 21-17.

    Ginting dilihat gembira sambil melontar raketnya selepas meraih mata kemenangan. “Ini merupakan kemenangan yang sangat emosional bagi saya. Saya terpaksa mengharungi kemerosotan dalam prestasi dan bergelut untuk sampai ke tahap ini,” katanya.

    “Tetapi, saya tidak pernah berhenti mempercayai diri saya sendiri dan yakin dengan pengalaman dan kemahiran yang saya ada,” tambahnya. – AFP

    Anthony Sinisuka Ginting meraikan kejayaan di atas podium selepas menewaskan pemain Jepun Kodai Naraoka semasa perlawanan akhir perseorangan lelaki pada kejohanan badminton Terbuka Singapura 2022 di Singapura kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...