Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Langgar lari bawa maut, warga asing dipenjara 16 bulan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Seorang lelaki warga Indonesia berusia 34 tahun dijatuhi hukuman penjara 16 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, Khamis lalu selepas dia mengaku bersalah atas empat pertuduhan, yang membawa kepada kematian seorang lelaki berusia 44 tahun yang jasadnya ditemui di tepi jalan di Seria Julai lalu.

    Hermanto mengaku bersalah atas empat pertuduhan di bawah Seksyen 304A(1) Kanun Hukuman Jenayah, Bab 22 bagi kesalahan memandu secara terburu-buru sehingga menyebabkan kematian, Seksyen 31 Akta Lalu Lintas Jalan Raya, Bab 68 bagi kesalahan gagal memberi bantuan kepada orang yang cedera, Seksyen 33(1) Akta Lalu Lintas Jalan Raya, Bab 68 bagi kesalahan gagal berhenti selepas kemalangan dan Seksyen 33(2) Akta Lalu Lintas Jalan Raya, Bab 68 bagi kesalahan gagal melaporkan kemalangan kepada pegawai polis dalam tempoh 24 Jam.

    Majistret Kanan Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menegaskan bahawa defendan secara terang-terangan tidak menghiraukan kesejahteraan mangsa dan tidak menunjukkan kekesalan terhadap tindakannya.

    Pendakwa Aeny Zullizam mendedahkan bahawa defendan memandu laju di sepanjang Jalan Tengah, Seria pada 6 pagi 24 Julai lalu.

    Pada masa itu, cuaca hujan serta gelap dan defendan memandu tanpa berhati-hati.

    Defendan kemudian merempuh mangsa yang sedang berjalan mengikut arah sama seperti yang dipandu oleh defendan di tepi jalan yang menyebabkan mangsa tercampak ke dalam longkang berhampiran.

    Defendan terus memandu tanpa berhenti dan memberikan sebarang bantuan kepada mangsa.

    Keesokan harinya, defendan memberitahu majikannya bahawa dia terlibat dalam kemalangan di tempat lain sebagai penjelasan kepada kerosakan pada kereta itu.

    Jasad mangsa ditemui ahli keluarga dua hari kemudian dan siasatan polis membawa kepada penahanan defendan.

    Mahkamah juga memuji usaha polis dalam menyiasat kes yang membawa kepada penahanan defendan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...