Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Lebih 300 juta kanak-kanak bekerja di dunia

    BERLIN/ANKARA, 21 NOV – Penggunaan buruh kanak-kanak didapati meningkat dalam rantaian bekalan negara maju dan blok seperti Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Norway dan Switzerland, kata seorang pakar sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia.

    Bercakap kepada agensi Anadolu, aktivis hak asasi manusia, wartawan, perunding politik dan usahawan sosial, Fernando Morales-de la Cruz berkata terdapat lebih 300 juta kanak-kanak bekerja di seluruh dunia.

    Sambil menyatakan buruh ka-nak-kanak boleh memudaratkan perkembangan fizikal, psikologi atau emosi kanak-kanak, Morales-de la Cruz berkata, “300 juta kanak-kanak ini sangat menderita.”

    Beliau berkata semakin ramai kanak-kanak menjadi buruh antaranya disebabkan model perniagaan yang tidak berperikemanusiaan dan menyalahi undang-undang.

    Pandemik COVID-19 juga membawa kepada peningkatan dalam buruh kanak-kanak.

    “Semasa pandemik COVID-19, kita juga melihat peningkatan kemiskinan yang ketara. Pekerjaan kanak-kanak meningkat apabila kemiskinan meningkat kerana buruh kanak-kanak adalah hasil daripada kemiskinan tegar,” tambahnya.

    “…Ini masalah yang sangat serius, sepatutnya kita perlu mempunyai sistem berasaskan kedaulatan undang-undang dan menghormati hak asasi manusia. Tetapi apabila awda melihat rantaian bekalan dan pelaburan mereka, mereka tidak menghormati hak kanak-kanak,” katanya.

    Menurut angka rasmi, kira-kira satu daripada setiap 10 kanak-kanak di seluruh dunia bekerja sebagai buruh dengan peratusan meningkat kepada satu daripada setiap lima kanak-kanak di negara membangun.

    Sesetengah kanak-kanak ini bekerja dalam pekerjaan berbahaya yang boleh membahayakan kesihatan, keselamatan serta moral mereka. – Bernama

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...