Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Seorang lelaki berbangsa Inggeris warganegara British telah memilih agama Islam sebagai pegangan hidupnya yang baharu setelah melafazkan Dua Kalimah Syahadah, baru-baru ini.
Majlis pengislaman Danny Peter George Crompton, 27, telah dilaksanakan di hadapan pegawai-pegawai dan kakitangan Unit Pengislaman, Pejabat Unit Dakwah Daerah Belait pada majlis yang berlangsung di pejabat berkenaan.
Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.
Acara diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada saudara baharu oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pejabat Unit Dakwah Daerah Belait, Dayang Nurhuwaina binti Mamud dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Menurut Pusat Dakwah Islamiah (PDI), sejak awal tahun ini hingga 31 Ogos lalu, seramai 303 orang telah memeluk agama Islam di seluruh Negara Brunei Darussalam dengan 58 daripadanya dari Daerah Brunei dan Muara.
