MADRID, 15 MAC – Jurgen Klopp kelmarin berkata bahawa Liverpool mungkin hanya mempunyai satu peratus peluang untuk menewaskan Real Madrid untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara, tetapi mereka tetap akan mencubanya.
Selepas kekalahan 5-2 di Anfield Februari lalu, jurulatih itu mengakui bahawa harapan pasukannya untuk melangkah ke peringkat seterusnya telah berakhir.
Bagaimanapun Klopp berkata dia telah mengubah fikirannya sedikit, dan walaupun tiada sesiapa yang percaya dengan pasukannya, mereka menantikan pertembungan di ibu negara Sepanyol itu, ulangan perlawanan akhir musim lalu.
“Saya katakan tiga minggu lalu, Madrid dengan keputusan itu mereka layak ke pusingan seterusnya, kini kami berada di sini tiga minggu kemudian dan kami tahu ada satu perlawanan untuk dimainkan,” kata Klopp pada sidang akhbar.
Juara enam kali Liverpool telah mempamerkan aksi hebat dan tidak masuk akal dalam beberapa minggu kebelakangan ini, membelasah saingan mereka Manchester United 7-0 dalam Liga Perdana, sebelum tewas 1-0 kepada Bournemouth yang diancam penyingkiran hujung minggu lalu.
Skuad kendalian Klopp, dijangka bertarung untuk merebut kejuaraan, telah merosot di pertengahan carta pada musim ini tetapi kini menyasarkan penamat empat teratas. – AFP
