Friday, April 26, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Lubnan bergelut krisis pengurusan sisa mampan

    BEIRUT – Randa el-Rassi bangun semula daripada tidurnya kerana bau busuk sampah yang tidak dikutip di tepi jalan berhampiran bangunannya yang terletak di Zarif di tengah Beirut.

    Syarikat pemungut sampah hanya datang ke sini apabila longgokan terlalu tinggi, keluh wanita muda itu.

    “Amat memalukan kita masih perlu menanggung perkhidmatan yang buruk di negara ini, yang menjejaskan kehidupan kami dan menjejaskan kesihatan kami kepada risiko yang besar,” kata el-Rassi kepada Xinhua.

    Samar Khalil, pakar pengurusan alam sekitar, mengaitkan timbunan sampah di jalan-jalan di Beirut dan kawasan lain berpunca daripada kerja pemungut sampah yang tergendala akibat gaji yang tidak dibayar berikutan krisis kewangan negara yang meruncing.

    Syarikat pengutip sampah mula berdepan masalah apabila pound Lubnan mula mengalami kejatuhan nilai berbanding dolar Amerika Syarikat di pasaran pada 2019, menurut Khalil, yang merupakan ahli Waste Management Coalition, kumpulan organisasi masyarakat sivil, pakar bebas dan aktivis alam sekitar di Lubnan.

    Seorang lelaki mengumpul sampah di Beirut, Lubnan. – Xinhua
    Pengurusan sisa telah menjadi masalah kronik bagi Lubnan, yang gagal untuk mencari penyelesaian sesuai untuk krisis sampahnya. – Xinhua

    “Syarikat pengutip sampah mengupah pekerja asing yang biasanya dibayar dalam dolar AS tetapi kerajaan Lubnan gagal mendapatkan mata wang asing untuk syarikat ini, memaksa mereka menghentikan operasi mereka sekali-sekala,” kata Khalil kepada Xinhua.

    Pengurusan sisa menjadi masalah kronik bagi Lubnan, yang gagal mencari jalan penyelesaian hingga menjadi tajuk utama antarabangsa.

    Lubnan menghasilkan lebih dua juta tan sampah setahun dengan 94 peratus tertimbus di tapak pelupusan sampah dan sekitar enam peratus dikitar semula.

    Sampah kini sedang tertimbus di tapak pelupusan sampah Jdeideh walaupun sudah menjadi tepu, kata Khalil.

    Julien Jreissati, seorang juru kempen di Greenpeace Mediterranean, berkata krisis sampah semakin memburuk apabila dua kemudahan pengasingan dan pengkomposan untuk sisa perbandaran yang terletak di Karantina rosak teruk akibat letupan yang menggegarkan Beirut pada 4 Ogos 2020.

    “Malangnya, kerajaan tidak mempunyai wang untuk memulihkan kemudahan itu,” katanya kepada Xinhua.

    Pakar menekankan keperluan kerajaan untuk menggunakan strategi komprehensif jangka panjang bagi menangani krisis sisa di negara itu dengan memulakan pelaksanaan hierarki sisa asal untuk mengurangkan pembaziran, menggalakkan penggunaan semula barangan, dan pengasingan sisa daripada sumber.

    “Kami boleh mendapatkan semula hampir 70 hingga 80 peratus daripada sampah kami jika kami mengasingkannya dengan betul. Kami boleh mengkompos 50 peratus daripada sampah dan mengitar semula 20 hingga 30 peratus,” kata Khalil.

    Menteri Alam Sekitar Lubnan Nasser Yassin memberitahu Xinhua bahawa kementeriannya telah mula melaksanakan strategi komprehensif untuk menangani krisis sampah, yang merangkumi penyelesaian jangka panjang dan mampan untuk isu ini, tetapi kekurangan dana dan krisis kewangan di negara itu melambatkan banyak penyelesaian.

    Langkah paling segera, kata Yassin, ialah menandatangani perjanjian pada 18 Mei dengan Bank Dunia untuk pemulihan kilang kitar semula dan pengkomposan yang musnah akibat letupan Beirut. Projek itu dijadualkan siap pada musim panas 2023.

    Menteri itu menambah kerajaan telah bersetuju untuk meningkatkan wang yang dibayar kepada syarikat pengutip sampah yang akan membolehkan mereka meningkatkan gaji pekerja mereka yang dibayar dalam pound Lubnan.

    Yassin berkata, strategi kementeriannya memihak kepada desentralisasi di mana majlis perbandaran diberi peranan lebih besar untuk membuang sampah dan mengikut hierarki pengurusan sisa.

    “Majlis perbandaran memerlukan wang untuk menangani sampah supaya mereka boleh mengenakan bayaran bulanan ke atas rumah dan kedai bagi tujuan ini di tengah ketiadaan dana yang diperlukan daripada kerajaan berikutan krisis semasa,” katanya.

    Langkah lain, menurut Yassin, ialah penubuhan Pihak Berkuasa Pengurusan Sisa Pepejal Kebangsaan yang akan menjadi pengawal selia yang menyediakan sokongan teknikal.
    “Ini dalam proses,” katanya.

    Yassin berkata beliau juga akan mencadangkan pada sesi kabinet mengenai peta bagi sembilan tapak pelupusan sampah baharu kerana pengasingan dan pengkomposan hanya akan mengurangkan sekitar 60 atau 70 peratus sampah manakala 30 peratus lagi perlu ke tapak pelupusan sampah.

    Lubnan telah menghadapi krisis kewangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan negara itu kini sedang berunding dengan Tabung Kewangan Antarabangsa untuk mendapatkan bantuan berbilion dolar dengan harapan menyelamatkan negara daripada pelbagai krisis. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...