Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Mahasiswa teruja gunting rambut percuma untuk gelandangan

    KUALA LUMPUR – Bermula daripada hanya membantu memotong rambut ahli keluarganya di rumah, Mohd Haikal Azman, 22, tidak menyangka kemahiran itu kemudiannya digunakan untuk membantu gelandangan serta menjadi kenangan manis yang menyentuh hati. 

    Walaupun awalnya penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu tidak dapat menyembunyikan rasa gementarnya berhadapan buat pertama kali dengan golongan itu, perasaan itu hilang sebaik mendengar ucapan terima kasih tidak putus-putus daripada gelandangan yang menerima khidmat mereka.

    Katanya, beliau dan rakan-rakannya mendapat satu kepuasan apabila dapat membantu golongan berkenaan secara percuma dengan memberikan ‘imej baharu’ kepada golongan itu yang selama ini adakalanya dipandang rendah kerana penampilan mereka.  

    “Rasa risau juga, takut hasil tak memuaskan tapi rupanya mereka ini sangat mesra dan begitu menghargai sumbangan kecil seperti ini, rasa tersentuh pula bila mereka ucap ‘terima kasih’,” kata penuntut jurusan Ekonomi Kewangan itu kepada Bernama.

    Mohd Haikal merupakan antara 40 peserta Program Operasi Khidmat Masyarakat daripada UPSI yang menyantuni golongan gelandangan dengan memberikan khidmat memotong rambut, pemberian pakaian terpakai, bengkel psikologi dan pemeriksaan kesihatan.

    Inisiatif Program Operasi Khidmat Masyarakat berkenaan merupakan sebahagian daripada program Jom Raya Bersama Komuniti Bandar Kuala Lumpur anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang berlangsung di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku di sini malam tadi.

    Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Jalaluddin Alias dan lebih 200 warga kota.  

    Pengarah projek program tersebut Siti Fairuz Rohaliza Ejahar berkata peserta juga berpeluang  mendekati dan lebih memahami cabaran dihadapi komuniti tersebut dan berhasrat untuk mengadakan lebih banyak program seumpama itu pada masa akan datang. 

    Siti Fairuz Rohaliza berkata pihaknya turut berjaya mengumpulkan lebih lima kilogram pakaian terpakai daripada orang ramai untuk diagihkan kepada golongan tersebut menerusi promosi yang diadakan dalam media sosial. 

    Sementara itu, Jalaluddin turut berbangga dengan penglibatan golongan belia dalam usaha memperkasa komuniti gelandangan tersebut. – Bernama

    Antara Program Operasi Khidmat Masyarakat daripada UPSI yang menyantuni golongan gelandangan dengan memberikan khidmat memotong rambut, pemberian pakaian terpakai, bengkel psikologi dan pemeriksaan kesihatan. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...