Sunday, May 19, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Mbappe selamatkan PSG

    PARIS, 12 MAC – Kylian Mbappe meledak gol kemenangan pada minit akhir ketika Paris Saint-Germain menewaskan Brest 2-1, kelmarin, keputusan yang sedikit sebanyak membantu menyembuhkan luka mereka selepas tersingkir dari Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu di tangan Bayern Munich.

    PSG kini hanya beraksi untuk merebut kejuaraan Ligue 1 pada baki bulan musim ini selepas kelab milik Qatar itu tersingkir daripada saingan kelab elit Eropah pada pusingan 16 terakhir dengan kekalahan agregat 3-0.

    Mereka mendahului semasa kunjungan mereka ke Brittany pada minit ke-37 apabila Carlos Soler menyusul untuk menjaringkan gol selepas sepakan Mbappe ditepis oleh penjaga gol Brest, Marco Bizot.

    Namun pasukan tuan rumah, yang berjuang untuk mengelak penyingkiran, menyamakan kedudukan sebelum separuh masa melalui Franck Honorat dan kelihatan seolah-olah mereka akan mengekalkan mata berharga dalam misi mereka untuk mengelak daripada disingkirkan.

    Tetapi Mbappe, yang baharu sahaja dilayangkan kad kuning kerana menendang pemain tengah Brest, Haris Belkebla di belakang betis, berjaya menjaringkan gol menerusi hantaran Lionel Messi.

    Walaupun persembahan tidak meyakinkan, keputusan itu membolehkan PSG melebarkan pendahuluan mereka di puncak Ligue 1 kepada 11 mata me-ngatasi pencabar terdekat Marseille, yang menentang Strasbourg pada Ahad.PSG, yang memburu kejuaraan liga ke-11 Perancis dan kesembilan dalam era Qatar, kehilangan ramai pemain di Stade Francis-Le Ble, termasuk Neymar.

    Pemain Brazil itu semakin pulih selepas menjalani pembedahan pada ligamen buku lali di Doha dan dijangka tidak akan bermain untuk musim ini. – AFP

    Reaksi Kylian Mbappe semasa penghujung perlawanan bola sepak L1 Perancis di Stade Francis-Le Ble di Brest, barat Perancis. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...