Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Memperkasa golongan belia menerajui perubahan iklim

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    Perubahan iklim merupakan ancaman kewujudan yang memberikan kesan kepada semua di serata dunia, di mana kita dapat melihat lebih banyak dan kerapnya berlaku kejadian cuaca yang tegang.

    Walaupun Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura negara kecil yang secara kolektif menyumbang kurang daripada 0.15 peratus pelepasan gas rumah hijau global tetapi kedua-dua negara adalah terdedah tinggi kepada kesan perubahan iklim seperti suhu yang lebih tinggi, peningkatan paras laut dan meningkatnya kejadian banjir kilat.

    Oleh itu, ancaman yang menjulang itu, menghendaki kita untuk melaksanakan tindakan yang bersepadu dan kolektif di serata negara, syarikat dan komuniti. Golongan belia dan kanak-kanak akan menanggung beban perubahan iklim dan oleh itu mereka harus diperkasa untuk menerajui tindakan iklim dan membawa kepada perubahan positif bukan sahaja dalam keluarga mereka tetapi juga komuniti masing-masing.

    Seruan dan harapan itu disuarakan oleh Menteri Alam Sekitar dan Kemampanan, Republik Singapura, Puan Yang Terutama Grace Fu Hai Yien dalam rakaman ucaptama bertajuk, Youth on Climate Action-Singapore Context, yang ditayangkan semasa Perasmian Minggu Tindakan Iklim, Pameran dan Persidangan Pertengahan Tahun Brunei 2022 (Brunei MYCE 2022) yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.

    Golongan belia boleh bekerjasama dengan pihak kerajaan, perniagaan dan komuniti mereka untuk sama-sama menghasilkan penyelesaian inovatif kepada masalah yang dihadapi.

    PYT Grace Fu Hai Yien dalam rakaman ucaptama yang ditayangkan semasa Perasmian Minggu Tindakan Iklim, Brunei MYCE 2022 yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.
    Golongan belia dan kanak-kanak harus diperkasa untuk menerajui tindakan iklim dan membawa kepada perubahan positif bukan sahaja dalam keluarga mereka tetapi juga komuniti masing-masing.
    Para pelajar diberikan penerangan ketika melawat ke salah satu petak pameran semasa Perasmian Minggu Tindakan Iklim.

    Dalam hubungan itu, beliau memuji dan menghargai usaha Negara Brunei Darussalam dalam melancarkan inisiatif ASEAN Youth on Climate Action (ASEANyouCAN) semasa Brunei menjadi pengerusi ASEAN pada 2021.

    PYT Grace Fu berkata lagi bahawa Dialog ASEANyouCAN yang diadakan bersempena dengan Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN bagi Alam Sekitar pada Oktober 2021 menyediakan platform yang berharga bagi belia-belia yang berfikiran serupa di ASEAN untuk berkongsi pandangan dan idea, memupuk dialog di antara belia dan kerajaan negara-negara anggota ASEAN berhubung dengan isu-isu iklim yang penting.

    Tambahnya, belia-belia kita menunjukkan pemahaman yang baik dalam konteks iklim di mana mereka bersama-sama mengetengahkan idea-idea bagi penyelesaian berasaskan alam semula jadi, tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui serta insentif pasaran.

    “Saya amat teruja dengan kesungguhan dan semangat mereka.” ulasnya lanjut.

    Beliau berkata lagi Singapura sedang secara aktif menggalakkan dan menyokong pemerkasaan belia bagi tindakan untuk masa hadapan yang lebih hijau.

    Beliau turut mengongsi pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh belia-belia Singapura untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan golongan muda termasuk penuntut sekolah mengenai pentingnya untuk melaksanakan tindakan-tindakan bagi menangani perubahan iklim dan tindakan iklim.

    Perubahan iklim memerlukan perubahan pada skala yang besar, tegasnya lagi, di mana pihak kerajaan tidak dapat melakukannya bersendirian.

    “Pada Februari 2021, kami melancarkan Pelan Hijau Singapura 2030, iaitu pergerakan seluruh Singapura untuk menangani perubahan iklim,” kongsinya.

    Program-program utama di bawah rancangan itu, jelasnya, adalah termasuk rancangan untuk menanam 1 juta pohon pokok lagi di serata pulau berkenaan, mengurangkan sebanyak 30 peratus sisa yang dihantar ke tapak pelupusan sisa, menjadikan 20 peratus sekolah karbon neutral, meningkatkan penggunaan tenaga suria lima kali ganda, menghijaukan sebanyak 80 peratus bangunan-bangunannya, menjadinya pusat unggul bagi kewangan hijau dan menjadi hab perkhidmatan karbon serta melengkapkan penghasilan Coastal Protection Plan to Adapt to Sea Level Rise.

    Pelan Hijau itu, menyediakan banyak peluang bagi penglibatan belia di mana pihaknya telah menjana platform yang berlainan untuk melibatkan dan memperkasakan belia seperti penglibatan dalam Citizen Work Groups di mana peserta daripada latar belakang yang berlainan dan kumpulan umur, berkumpul untuk mengenal pasti serta menghasilkan penyelesaian bersama untuk menangani secara kolektif isu-isu kompleks seperti penggunaan berlebihan bahan buangan.

    Selain daripada itu, PYT Grace Fu berkata mereka juga mempunyai inisiatif Cabaran Tindakan Belia (YAC) di mana belia dialu-alukan bagi menyediakan penyelesaian untuk menangani isu-isu yang menjadi kerisauan bagi mereka termasuk isu-isu alam sekitar.

    Menurutnya sepanjang tiga musim inisiatif berkenaan dilaksanakan, sebanyak kira-kira 60 buah pasukan telah membentangkan idea mereka berhubung dengan pembaziran makanan, menggalakkan amalan kehidupan mampan dan meningkatkan sekuriti makanan.

    PYT Grace Fu dalam ucaptama itu, menyatakan penghargaan kepada Negara Brunei Darussalam dalam menyediakan platform bagi mereka untuk belajar daripada pengalaman di antara satu sama lain khususnya dalam bekerjasama dengan golongan belia mengenai perubahan iklim.

    Beliau menyatakan harapan belia kedua-dua buah negara akan dapat mempelajari daripada satu sama lain dan bergerak lebih rapat lagi untuk mencapai dunia yang lebih mampan, selamat dan tenteram untuk generasi akan datang.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...