Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Mempersiapkan diri sambut bulan Ramadan

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengadakan Program Tazkirah Persediaan Menghadapi Ramadan di Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah (MRSB), Kampung Sungai Akar, dan juga melalui aplikasi Zoom, kelmarin.

    Program berkenaan diungkayahkan oleh KHEU melalui Jabatan Hal Ehwal Masjid dan ahli Jawatankuasa Takmir MRSB, dalam usaha memastikan jemaah dan penduduk Kampung Sungai Akar mempersiapkan diri dari segi rohani dan jasmani dalam menyambut bulan Ramadan yang mulia dalam beberapa hari sahaja lagi.

    Hadir pada program tersebut ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong selaku penaung MRSB.

    Program tazkirah berkenaan bertajuk ‘Amalan Rasul di Bulan Ramadan’, yang telah disampaikan oleh Penolong Kanan Profesor, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr Haji Harapandi Dahri.

    Antara yang disentuh dalam tazkirah tersebut adalah mengenai khutbah Rasulullah SAW di akhir bulan Syaaban dan pengajaran yang diperoleh daripada khutbah Rasulullah itu, dalam bulan ini terdapat satu malam yang bernilai lebih daripada seribu bulan iaitu Lailatul Qadar.

    Beliau turut menjelaskan bahawa bulan Ramadan juga adalah bulan kesabaran dan dengan sabar itu akan mendapat balasan syurga. Selain itu, bulan Ramadan juga adalah bulan persaudaraan dan diingatkan untuk tidak berbuat zalim, fitnah dan ghibah untuk semua orang.

    “Bulan Ramadan terbahagi menjadi tiga iaitu awal pada 10 hari pertama adalah rahmat kasih sayang Allah, manakala pertengahan (10 hari) diturunkan keampunan Allah bagi yang menjalankan puasa dan yang terakhir iaitu 10 atau 9 hari terakhir akan dibebaskan oleh Allah SWT daripada siksaan api neraka,” jelasnya.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali antara yang hadir semasa Program Tazkirah Persediaan Menghadapi Ramadan di masjid berkenaan. – Gambar serahan MRSB
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    6 maut dalam kebakaran restoran, hotel

    PATNA, 26 APRIL — Kebakaran besar yang melanda sebuah restoran dan hotel di timur India kelmarin membunuh sekurang-kurangnya enam orang dan mencederakan 20 orang,...