Sunday, May 19, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Mesyuarat ATM ke-28 sepakati dua dokumen utama

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pengangkutan ASEAN (ATM) ke-28 dan mesyuarat-mesyuarat bersama rakan-rakan dialog yang berlangsung di Bali, Indonesia pada 16 dan 17 Oktober.

    Menurut kenyataan yangdikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), di sini, Mesyuarat ATM ke-28 dirasmikan oleh Menteri Pengangkutan Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Budi Karya Sumadi.

    Dalam ucapan pembukaannya, TYT Budi Karya Sumadi menekankan bahawa sektor pengangkutan masih memainkan peranan penting bagi mencapai Visi ASEAN ke arah masyarakat yang mantap dan inklusif serta yang bersepadu dengan ekonomi global.

    Beliau seterusnya menyentuh walaupun proses pemulihan penuh sektor pengangkutan merupakan cabaran berterusan selepas wabak COVID-19, projek-projek serta inisiatif yang dicapai semasa mesyuarat-mesyuarat ATM kali ini menunjukkan komitmen berterusan pegawai-pegawai kanan pengangkutan ke arah pemulihan sektor pengangkutan yang mampan.

    Mesyuarat ATM ke-28 dan mesyuarat-mesyuarat bersama rakan-rakan dialog dipengerusikan oleh TYT Budi Karya Sumadi selaku Pengerusi ATM pada 2022.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary semasa menghadiri ATM ke-28 dan mesyuarat-mesyuarat bersama rakan-rakan dialog yang berlangsung di Bali, Indonesia. – Gambar serahan MTIC

    Semasa mesyuarat itu, para menteri yang bersidang bersetuju untuk memuktamadkan dan mengesahkan dua dokumen utama iaitu Perjanjian ASEAN mengenai Kerjasama Mencari dan Menyelamat Aeronautik dan Maritim (ASEAN SAR) dan Perjanjian Pengangkutan Udara Komprehensif ASEAN-Kesatuan Eropah (AE-CATA) dengan kedua-dua perjanjian telah ditandatangani oleh Negara Brunei Darussalam semasa mesyuarat berkenaan.

    Perjanjian ASEAN SAR akan membangunkan dan mempertingkatkan kerjasama dalam bidang mencari dan menyelamat khususnya berkaitan udara dan maritim antara negara-negara ahli ASEAN.

    Kerjasama berkenaan antara lainnya termasuk berkongsi dan bertukar-tukar maklumat dan pengalaman serta menjalankan latihan bersama serta pembangunan sumber manusia dalam bidang mencari dan menyelamat.

    Manakala itu, Perjanjian AE-CATA adalah sebagai perjanjian perkhidmatan udara bloc-to-bloc yang pertama antara ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU), yang akan meningkatkan hubungan udara antara kedua-dua rantau serta mempertingkatkan peluang ke arah pemulihan setelah wabak COVID-19.

    Mesyuarat juga mengesahkan dokumen-dokumen yang berkaitan dengan trend global terkini dalam pembangunan yang mampan, berdaya tahan serta pendigitalan iaitu The Annual Priorities/Key Deliverables in Transport for 2023, termasuk cadangan-cadangan dasar bagi mempertingkatkan infrastruktur dan stesen pengecas kenderaan elektrik dan juga mempertimbangkan rangka kerja Pelan Tindakan Penerbangan Mapan ASEAN (ASAAP).

    Dokumen-dokumen yang disahkan adalah The ASEAN Guidelines on Airport Environment Management System (EMS), The Guiding Principles for the Regulation of Application-based Mobility Services for Passenger Transport in ASEAN serta The Implementation Framework to Enhance Container Circulation in ASEAN.

    Mesyuarat juga bersetuju untuk menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Mesyuarat Pegawai-pegawai Pengangkutan Kanan ASEAN (STOM) bagi Pengangkutan Mampan yang akan meneliti dan mempertimbangkan isu-isu serta inisiatif-inisiatif baharu antara lainnya dalam bidang pembangunan mampan, penyahkarbonan dan pendigitalan sektor pengangkutan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...