Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    NASA tubuh pasukan saintifik kaji UFO

    WASHINGTON, 10 JUN – Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) kelmarin telah membuat satu perancangan bagi menubuhkan sebuah pasukan saintis untuk meneliti fenomena udara yang tidak dikenal pasti, digelar UFO.

    Agensi angkasa Amerika Syarikat (AS) itu berkata, tumpuan akan diberikan untuk mengenal pasti data tersedia, cara terbaik untuk mengumpulkan data masa depan dan cara menggunakan maklumat untuk pemahaman saintifik masa depan mengenai isu itu.

    Ia akan diketuai oleh David Spergel iaitu bekas ketua jabatan astrofizik Universiti Princeton dan Daniel Evans, seorang penyelidik kanan di Direktorat Misi Sains NASA.

    Evans berkata, pasukan saintis akan ditubuhkan menjelang musim luruh dan akan menghabiskan kira-kira sembilan bulan bagi membangunkan laporan awam mengenai penemuannya dengan peruntukan diberi NASA tidak melebihi AS$100,000.

    Pengumuman itu dibuat ketika bidang kajian UFO, yang pernah menjadi penyelidikan yang dipandang rendah, semakin mendapat tarikan arus perdana.

    Pada bulan lalu, Kongres mengadakan perbicaraan awam mengenai UFO, manakala laporan perisikan AS tahun lepas telah mencatatkan sebanyak 144 penampakan yang dikatakan tidak dapat dijelaskan. Menurut Ketua Unit Sains NASA, Thomas Zurbuchen, pihaknya akan mula melakukan penyiasatan tanpa memikirkan keputusannya dahulu.

    Pembabitan NASA dalam usaha Pentagon bagi mencirikan Unidentified Aerial Phenomena (UAP) telah diakui sebelum ini oleh pegawai AS.

    Pentagon telah mendedahkan beberapa video objek misteri yang mempamerkan kelajuan dan kebolehgerakan melebihi teknologi penerbangan yang diketahui tidak mempunyai sebarang alat pendorong atau permukaan kawalan penerbangan yang boleh dilihat. – AFP

    NASA mengumumkan ia akan melancarkan kajian tentang UFO sebagai sebahagian daripada usaha baharu ke arah sains berisiko tinggi kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...