UNITED KINGDOM, 15 JUN – England berdepan dengan penyingkiran dari tier teratas dalam Liga Negara-Negara selepas mengalami kekalahan memalukan 4-0 di tangan Hungary, ia merupakan kekalahan paling mengecewakan bagi The Three Lions sejak 1928.
Hungary meraih kemenangan pertama mereka ke atas England dalam 60 tahun di Budapest 10 hari lalu dan diikuti dengan kemenangan pertama mereka di England sejak kemenangan 6-3 di Wembley pada tahun 1953.
Roland Sallai meraih dua gol dan kemudiannya dua gol lagi disumbangkan oleh Adam Nagy dan Daniel Gazdag untuk meletakkan Hungary berada dalam landasan untuk mara ke Liga Negara-Negara pada tahun hadapan.
Sementara itu, anak buah Marco Rossi tidak akan membuat kemunculan di Piala Dunia di Qatar nanti tetapi telah mendahului Jerman dengan satu mata. Dengan itu, ia memberikan Hungary dua mata di belakang pendahulu dengan baki dua perlawanan.
England pula ketinggalan tiga mata di tempat tercorot dalam kumpulan tersebut dan mereka perlu bangkit pada September ini menentang Itali dan menjadi tuan rumah kepada Jerman untuk mengelak disingkirkan.
Walau bagaimanapun, kebimbangan yang menghantui Gareth Southgate ialah prestasi anak buahnya dengan hanya lima bulan sahaja lagi sebelum Piala Dunia.
Bos England itu kesal kerana pasukannya terlalu bergantung kepada Harry Kane dan Raheem Sterling untuk menjaringkan gol sebelum perlawanan dan sekali lagi England kehilangan ‘taringnya’.
Setakat ini, England hanya menjaringkan satu gol dalam empat perlawanan Liga Negara-Negara pada bulan ini iaitu hasil gol penalti Harry Kane dalam perlawanan seri 1-1 dengan Jerman pada minggu lalu. – AFP