Monday, May 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    NDMC pengerusikan Mesyuarat ACDM ke-44

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Mesyuarat Jawatankuasa ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (ACDM) ke-44 dan mesyuarat lain yang berkaitan telah diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

    Majlis pembukaan mesyuarat berkenaan telah disempurnakan oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Dayang Nor Hamidah binti Haji Hamidon selaku tetamu kehormat.

    Mesyuarat telah dipengerusi-kan bersama oleh Pengarah Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), KHEDN, Kolonel (B) Muhd Harrith Rashidi bin Haji Muhd Jamin selaku pengerusi dan Penasihat Kerjasama ASEAN dan Antarabangsa, Jawatankuasa Kebangsaan Pengurusan Bencana Kemboja, Virak Kim selaku naib pengerusi.

    Lebih 70 orang dari organisasi pengurusan bencana di 10 buah negara anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN dan Pusat Penyelaras ASEAN untuk Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (Pusat AHA) serta Timor Leste sebagai pemerhati telah menghadiri mesyuarat berkenaan.

    ACDM merupakan sebuah badan sektoral ASEAN yang bertanggungjawab dalam pengurusan bencana, di mana negara anggota ASEAN selaku ahli telah dapat bertukar-tukar pendapat, berkongsi amalan terbaik dan seterusnya membincangkan kemajuan aktiviti-aktiviti dalam usaha mengukuhkan pengurusan bencana di rantau ASEAN.

    Kolonel (B) Muhd Harrith Rashidi semasa menyampaikan ucapan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Di bawah tema Membina ASEAN Berdaya tahan melalui Pemulihan Bencana Mampan dan Inklusif, Mesyuarat ACDM ke-44 turut menyuarakan tentang matlamat dan aspirasi yang digariskan dalam Wawasan Komuniti ASEAN 2025 dan Wawasan ASEAN 2025 dalam Pengurusan Bencana.

    Ia juga menggariskan komitmen secara kolektif ke arah memupuk komuniti ASEAN yang berdaya tahan dan mampu mengharungi bencana dan pelbagai kesukaran dengan cekap.

    Semasa mesyuarat dijalankan, beberapa perkara juga telah dibincangkan termasuk kemajuan pelaksanaan Program Kerja Perjanjian ASEAN dalam Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan (AADMER) 2012-2025, khususnya mengenai pengukuhan kapasiti negara anggota ASEAN dalam pengurusan bencana dan tindak balas kecemasan dengan menggalakkan kerjasama dan penyelarasan di peringkat serantau.

    Selain itu, mesyuarat turut membincangkan mengenai penilaian dan pemantauan risiko, pencegahan dan mitigasi, kesiapsiagaan dan tindak balas, pemulihan berdaya tahan dan kepimpinan global.

    Mesyuarat pada hari ini turut diikuti dengan majlis makan malam yang bertujuan untuk memupuk persekitaran yang kondusif melalui dialog dan rangkaian berterusan dalam kalangan negara anggota ASEAN dalam pengurusan bencana.

    Dayang Nor Hamidah turut hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis makan malam itu.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Helikopter presiden Iran ‘kemalangan’

    TEHRAN, 19 MEI - Sebuah helikopter yang membawa konvoi Presiden Iran, Ebrahim Raisi terlibat dalam ‘kemalangan’ hari ini, lapor media negara itu, tanpa menyatakan...