Saturday, May 18, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Newcastle selangkah lagi beraksi di UCL

    NEWCASTLE, 19 MEI – Newcastle kini hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk mengesahkan kepulangan mereka ke saingan Liga Juara-Juara (UCL).

    Newcastle berjaya menundukkan Brighton 4-1 awal pagi tadi untuk mengukuhkan kedudukan mereka di tangga ketiga carta Liga Perdana.

    Tiga lagi mata diperlukan untuk menjamin tempat mereka di kedudukan kelompok empat teratas dan layak secara automatik ke Liga Juara-Juara, kejohanan yang kali terakhir disertai kelab itu 20 tahun yang lalu. Baki perlawanan Newcastle adalah menjadi tuan rumah kepada Leicester dan beraksi di gelanggang lawan menentang Chelsea.

    “Ia masih belum berakhir,” kata pengurus Newcastle, Eddie Howe, yang enggan bercakap mengenai peluang kelabnya bermain di Liga Juara-Juara.

    Penyerang Brighton, Deniz Undav mengharungi perlawanan yang sangat sukar di St James’ Park, menanduk masuk bola ke gawang sendiri daripada sepakan sudut Kieran Trippier dan meletakkan Newcastle di hadapan pada minit ke-23.

    Reaksi pemain-pemain Newcastle United meraikan gol pertama perlawanan semasa pertemuan menentang Brighton di St James’ Park, 18 Mei lalu.- AP

    Trippier memainkan peranan penting dalam gol kedua pasukannya, dia membuat sepakan percuma dan ditanduk masuk oleh Dan Burn pada minit keempat masa kecederaan separuh masa pertama.

    Undav menebus kesilapannya dengan meledak gol pada minit ke-51 selepas menyambut bola hantaran Billy Gilmour untuk merapatkan jurang.

    Callum Wilson memastikan pasukannya selesa di hadapan dengan membolosi gawang lawan pada minit ke-89 dan Bruno Guimaraes melengkapkan kemenangan empat minit kemudian.

    Wilson mencatatkan gol liga ke-18 pada musim ini, meletakkannya di kedudukan kelima penjaring terbanyak liga. Rekod tersebut adalah yang terbanyak oleh pemain Newcastle dalam satu musim sejak 2003-2004, apabila Alan Shearer menjaringkan 22 gol.

    Harapan Brighton untuk menduduki kelompok empat teratas berakhir, dan kini pasukan kendalian Roberto De Zerbi fokus untuk menamatkan saingan di tangga kelima atau enam untuk beraksi di Liga Europa musim hadapan. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...