Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Omicron meningkat, Britain hadapi krisis hospital

    LONDON, 4 JAN – Britain kelmarin berdepan amaran tentang krisis hospital yang akan berlaku akibat kekurangan kakitangan disebabkan oleh gelombang jangkitan Omicron, ketika negara tersebut kembali bekerja selepas Krismas.

    Bilangan kes harian mencatatkan beberapa rekod menjelang tahun baharu, dengan Perdana Menteri, Boris Johnson menjanjikan tindakan untuk menutup jurang kakitangan di kawasan yang paling teruk terjejas.

    Kemasukan hospital tidak mencecah kemuncak gelombang pandemik sebelumnya dan bilangan orang yang memerlukan alat bantuan pernafasan pula mendatar.

    Namun Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) yang dikendalikan kerajaan, kerap mengalami tekanan semasa musim sejuk akibat jangkitan pernafasan bermusim, bergelut dengan kakitangan yang terpaksa mengasingkan diri di rumah selepas diuji positif.

    Rangkaian pengangkutan juga bergelut dengan ketidakhadiran, menyebabkan penumpang terpaksa menunggu lama untuk kembali bekerja, manakala perkhidmatan awam lain seperti pengutipan sampah isi rumah terhalang.

    Menteri vaksin dan kesihatan awam, Maggie Throup memberitahu Sky News bahawa tidak jelas berapa ramai warga Britain yang kini berada dalam pengasingan diri selepas lonjakan Krismas dalam mutasi virus yang sangat mudah berjangkit.

    “Tetapi berita baiknya, ia nampaknya tidak mengakibatkan penyakit yang teruk seperti beberapa varian lain,” katanya kepada Sky News.

    Sekitar 50,000 kakitangan NHS tidak hadir bekerja minggu lalu kerana mereka sakit atau mengasingkan diri, lapor The Sunday Times.

    Sekurang-kurangnya enam hospital telah mengisytiharkan insiden kritikal, yang bermaksud perkhidmatan penting mungkin terancam. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...