Monday, May 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Pantau risiko jual beli dalam talian

    Jual beli barangan dalam talian memiliki kelebihan dan kekurangan yang perlu dipertimbangkan. Di sisi positifnya, jual beli dalam talian memberikan keselesaan kerana awda dapat berbelanja dari mana saja dan pada bila-bila masa sahaja tanpa perlu pergi ke kedai. Jadi secara tidak langsung menjadikan urusan jual beli lebih mudah dan pantas. 
     
    Di samping itu, ia juga memberikan ruang kepada pelanggan untuk membuat lebih banyak pilihan produk atau barang yang diingini kerana kebanyakan jual beli dalam talian akan menawarkan pilihan produk yang lebih luas dengan harga yang lebih kompetitif disebabkan adanya persaingan antara penjual secara global. Namun, bagi pendapat saya terdapat beberapa perkara yang merisaukan dan perlu diambil perhatian sewajarnya.
     
    Salah satunya adalah tentang keselamatan data peribadi. Meskipun sebahagian besar platform jual beli dalam talian memiliki sistem keselamatan yang baik, risiko kebocoran data masih ada. Pendedahan maklumat peribadi kepada pihak lain seperti nombor kad kredit, alamat rumah, nombor telefon dan maklumat sulit yang lain boleh berlaku menerusi jual beli secara dalam talian.
     
    Selain itu, ketika berbelanja secara dalam talian, awda juga tidak dapat melihat atau mencuba produk secara langsung sebelum membelinya, di mana boleh menjadikan awda kurang yakin tentang kualiti atau kesesuaiannya. Berdasarkan beberapa maklumat yang diketahui sama ada melalui ahli keluarga terdekat, rakan-rakan termasuk komen-komen yang dilontarkan melalui media sosial yang pernah menjadi pengguna aplikasi membeli-belah dalam talian ini antaranya mengatakan, terdapat laman web palsu yang boleh menjebak pengguna dengan aplikasi beli-belah yang diwujudkan oleh scammer dengan menawarkan harga lebih rendah seperti yang dinyatakannya. Selain itu, barang yang dipesan juga kadangkala tidak sampai seperti yang dimaklumkan dalam sistem tersebut. Perkara ini juga sering terjadi kepada pengguna aplikasi dalam talian.
     
    Saya berpendapat penting untuk menggunakan panduan keselamatan semasa menggunakan aplikasi jual beli dalam talian seperti memastikan jaringan web yang dilayari adalah selamat, menggunakan cara pembayaran yang boleh dipercayai, dan memeriksa ulasan produk serta jaminan pengembalian barang. Sikap waspada pengguna membolehkan urusan membeli belah dalam talian berjalan dengan lancar.
     
    T-Hayat
     
    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mayat pendaki Mongolia kedua yang hilang di Everest ditemui

    KATHMANDU, 19 MEI - Pasukan penyelamat menemui mayat pendaki Mongolia kedua yang hilang di Gunung Everest, menurut penganjur ekspedisi, hari ini, sekali gus mengesahkan...