Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Pascabanjir: Kanak-kanak perlu sokongan emosi, psikologi

    KUALA LUMPUR – Banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia baru-baru ini bukan sahaja boleh menyebabkan gangguan emosi dalam kalangan orang dewasa disebabkan kemusnahan harta benda dan kehilangan keluarga tersayang tetapi juga berpotensi menjejaskan emosi kanak-kanak.

    Justeru, pakar psikologi kanak-kanak berpendapat sokongan psikologi dan emosi terhadap golongan ini amat diperlukan terutama ketika fasa pascabanjir bagi memastikan perkembangan psikologi, emosi dan mental mereka tidak terganggu dengan bencana itu.

    Pakar Pendidikan Awal Kanak-kanak, Dr Putri Afzan Maria Zulkifli berkata tumbesaran dan perkembangan asas mental serta emosi kanak-kanak ada hubung kait dengan faktor tempat tinggal yang selamat.

    “Keadaan seperti bencana alam mudah membuatkan mereka (kanak-kanak) risau kerana berada dalam satu keadaan tidak pasti. Sesuatu yang tidak pasti mudah menjadikan mereka bimbang dan ini melibatkan rasa tidak selamat dalam diri.

    “Justeru, dalam keadaan ini, ibu bapa disarankan untuk sentiasa berbual dengan anak, maklumkan mereka dengan kata-kata peneguhan bahawa semuanya dalam kawalan ibu bapa dan anda (sebagai ibu bapa atau dewasa) akan sentiasa ada bersama untuk memastikan keselamatan mereka.

    Seorang kanak-kanak merenung dari luar tingkap semasa tinjauan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Changgang, Banting. – Bernama
    Reaksi kanak-kanak yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Balai Raya Kampung Sungai Nangka, Banting, Shah Alam selepas rumah mereka dilanda banjir, baru-baru ini. – Bernama

    “Elakkan juga memberi pendedahan keterlaluan dengan input berita yang boleh membawa kebimbangan melampau dalam diri anak-anak,” kata Dr Putri Afzan yang juga pengasas sebuah tadika swasta kepada Bernama.

    Menurut Dr Putri Afzan kesan jangka pendek dan panjang pascabanjir yang bertindih dengan fasa pascapandemik COVID-19 perlu diambil kira terhadap perkembangan psikologi kanak-kanak berkenaan.

    Katanya, kaedah penyampaian Social Stories (kisah sosial) dapat sedikit sebanyak membantu anak-anak yang terkesan secara terapeutik.

    “Hakikatnya, kita masih belum lagi selesai dengan isu COVID-19, dan lockdown (PKP) berpanjangan telah pun memberi kesan regresi pada anak-anak. Sama ada mereka terlibat secara langsung atau tidak, keadaan emosi dan psikologi mereka wajar dibimbangkan.

    “Kita yang dewasa perlu cakna tentang bagaimana penerimaan anak-anak ini tentang bencana yang berlaku. Berhati-hati dengan keperluan emosi mereka dan saya akan katakan, kaedah Social Stories akan membantu kanak-kanak yang terjejas,” katanya.

    Social Stories atau kisah sosial adalah alat bantu visual yang dicipta oleh Carol Gray sekitar 1991 untuk membantu menjelaskan mengenai situasi, peristiwa atau kegiatan tertentu. Bagi individu yang mengalami spektrum autisme kisah sosial dapat membantu mereka memahami orang lain berperilaku atau berespons situasi tertentu.

    Sementara itu, Kaunselor Psikologi, Ketua Unit Kaunseling Psikologi Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, Noor Suraya Muhamad berpendapat kondisi mental dan fizikal kanak-kanak boleh merosot sekiranya impak pascabanjir terhadap mereka tidak dibendung di peringkat awal.

    Menurutnya, tahap kebimbangan dan trauma emosi mereka berpotensi membawa kepada perubahan tingkah laku yang lebih ketara seperti tantrum, insomnia, hilang selera makan dan penjarakan diri.

    “Kesepaduan sosial masyarakat dan keluarga sebelum bencana berlaku dan proses pemulihannya selepas itu, begitu juga komunikasi dan keberadaan keluarga yang sentiasa ada bersama ketika saat kritikal begini sememangnya menjadi teras untuk mengurangkan penderitaan rakyat dan dapat menggalakkan pemulihan lebih berkesan sesama mangsa terlibat.

    “Ini juga adalah komponen Psychological First Aid (PFA), yang dipersetujui di peringkat antarabangsa sebagai set prinsip penting dalam memberikan penjagaan psikososial khususnya kepada kanak-kanak,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...