Sunday, May 19, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    Pelaksanaan hukuman mati disokong bagi jenayah berat

    SINGAPURA, 19 OKT – Terdapat sokongan kuat dalam kalangan rakyat Singapura dan penduduk tetap (PR) bagi pelaksanaan hukuman mati sebagai balasan kepada jenayah paling serius, seperti pembunuhan dengan sengaja, penggunaan senjata api dan mengedar dadah dalam jumlah yang besar.

    Kesimpulan itu hasil tiga kajian oleh Kementerian Dalam Negeri (MHA) diterbitkan di bahagian ‘Penerbitan’ dalam laman sesawangnya hari ini.

    Satu daripada kajian itu bertajuk ‘Attitudes towards the Use of Capital Punishment’ mendapati 74 peratus responden bersetuju atau sangat bersetuju wajar hukuman mati dikenakan bagi jenayah paling serius.

    Kajian itu dilaksanakan MHA pada 2019 dan dikendalikan Dr Carol Soon dan Shawn Goh dari Institut Kajian Dasar.

    Soalan khusus mengenai ‘hukuman mati mandatori’, kajian mendapati 71.4 peratus responden bersetuju atau sangat bersetuju bahawa hukuman mati perlu diwajibkan untuk pembunuhan dengan sengaja.

    Sementara itu, 61.5 peratus bersetuju atau sangat bersetuju berhubung kesalahan mengedar dadah dengan sengaja; dan 60.1 peratus bersetuju berhubung penggunaan senjata api.

    ‘Hukuman mati mandatori’ bermakna mahkamah perlu menjatuhkan hukuman mati ke atas pesalah sebaik sahaja didapati bersalah dan tidak mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman lain, menurut kajian itu.

    Kajian itu juga mendapati bahawa 78.2 peratus responden percaya hukuman mati berfungsi mencegah jenayah secara umum.

    Berhubung pengedaran dadah, kajian menunjukkan 78.9 peratus responden percaya hukuman itu boleh menghalang individu daripada mengedar dadah ke Singapura; dan 70.8 peratus percaya ia lebih berkesan berbanding hukuman penjara seumur hidup.

    Satu lagi kajian bertajuk ‘Perception of Residents in Regional Cities on Singapore’s Crime Situation, Law and Safety’ mendapati 87.2 peratus percaya hukuman mati menyebabkan orang ramai tidak mahu mengedar dadah dalam jumlah yang banyak ke Singapura. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    7 maut dalam banjir kilat di Iran

    TEHRAN, 17 Mei – Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dalam banjir kilat susulan hujan lebat di bandar Mashhad di timur laut Iran, lapor agensi berita...