Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Pelancongan domestik diperkasa kala pandemik

    Oleh Nurdiyanah R.

    Walaupun Negara Brunei Darussalam sebuah negara yang kecil, namun kehebatannya dalam menawarkan variasi produk dan lokasi tarikan pelancong, sama ada wujud secara semula jadi mahupun yang dibina oleh manusia tidak dapat disangkal lagi.

    Hakikatnya, sektor pelancongan memiliki potensi yang begitu besar jika diterokai sehingga kewujudannya memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi negara iaitu sebagai penjana pendapatan negara mahu pun para pengusaha sektor tersebut.

    Tidak dapat dinafikan, cabaran pandemik COVID-19 yang melanda dunia dan tanah air kita pastinya mencoret impak kepada seluruh sektor perekonomian negara mahu pun kehidupan masyarakat secara menyeluruh dari ‘biasa-biasa’ beralih secara drastik kepada ‘norma baharu’ yang juga mengesankan sektor pelancongan negara.

    Hikmah di sebalik krisis kesihatan

    Di sebalik cabaran krisis kesihatan yang melanda negara, berikutan dengan langkah-langkah pengawalan, sekatan dan kebenaran bagi aktiviti rentas sempadan melalui darat dan laut, dan juga perjalanan keluar dan masuk negara melalui pengangkutan udara yang begitu terhad, pastinya terselit hikmah tersendiri di mana sektor pelancongan domestik telah meraih manfaat daripada rakyat dan penduduk negara ini.

    Manfaat bukan hanya menjurus kepada tarikan destinasi-destinasi ‘penyejuk mata’ dalam negara bahkan, peningkatan aktiviti-aktiviti berimpak positif antaranya berbelanja dalam negara dan kadar staycation juga semakin meriah mewarnai sektor pelancongan domestik yang sekali gus mampu membantu meningkatkan ekonomi tempatan terutamanya pada saat ia diberi kebenaran untuk dijalankan dan dimuatkan dalam perlaksanaan pelan de-escalation.

    MESRA merupakan sebahagian usaha untuk mempromosikan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim.
    Makanan tradisi tempatan mahu pun antarabangsa antara yang diketengahkan dalam pakej-pakej pelancongan tempatan.

    Lamin Warisan di Kampung Tanjong Maya, Daerah Tutong sebagai salah satu destinasi pelancongan menarik yang diketengahkan oleh ahli keluarga Datu Lela Raja Haji Mohd Jair bin Bendahari Haji Ghafar sejak tahun 2012.

    Namun suatu hal yang ketara sebelum adanya perlaksanaan pelan de-escalation berperingkat-peringkat, kesan global akibat pandemik COVID-19 dan sekatan perjalanan untuk mengurangkan penularan jangkitan telah menyebabkan kerugian besar kepada industri pelancongan yang sememangnya turut dialami oleh bidang perhotelan tanah air.

    Inisiatif pemerkasaan pelancongan domestik

    Dalam meniti Fasa Endemik, pelbagai usaha dan pembentukan berkonsepkan norma baharu diterapkan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi memastikan sosioekonomi masyarakat dan negara tidak terus mengalami ‘kemarau’ berikutan wabak yang menular.

    Pastinya salah adalah usaha memperkasa sektor pelancongan domestik.

    Sehubungan itu, Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) selaku pihak yang bertanggungjawab dalam mempelbagaikan ekonomi dan pertumbuhannya dengan menjana peluang pekerjaan, mempromosikan pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana serta mempromosikan pertumbuhan pelancongan domestik atau pelancongan dalam negara.

    Sekitar awal bulan Februari lalu, sebagai salah satu strategi untuk menyokong sektor pelancongan domestik pada saat negara beralih untuk fasa hidup bersama virus itu, KSSUP menerusi Jabatan Kemajuan Pelancongan telah melancarkan Pakej-pakej Produk Pelancongan di keempat-empat buah daerah secara berjadual.

    Sejak langkah pengawalan diperketat disebabkan gelombang kedua penularan wabak COVID-19 di negara ini pada Ogos tahun lepas, Jabatan Kemajuan Pelancongan telah mengambil inisiatif untuk meneliti semula dan seterusnya mengenal pasti produk-produk dan aktiviti-aktiviti pelancongan yang dapat dipakejkan bagi keempat-empat daerah.

    Brosur juga telah dihasilkan yang mengandungi maklumat mengenai pakej-pakej produk pelancongan bagi keempat-empat daerah yang merupakan sample itineraries yang mana harga pakej tidak termasuk kos penginapan, makan minum, pengangkutan dan bayaran perkhidmatan ejen pelancongan.

    Ini bertujuan untuk memberikan harga indikatif minimum serta fleksibiliti kepada para pengunjung bagi memilih aktiviti atau perkhidmatan tambahan mengikut cita rasa masing-masing.

    Di samping itu, ia juga bermatlamat untuk mempromosikan tempat-tempat menarik yang menawarkan perkhidmatan experiential tours yang menggabungkan kesemua produk utama dan juga ciptaan baharu khususnya mukim-mukim perundingan kampung.

    Selain itu, ia juga bertujuan untuk membantu pihak berkepentingan pelancongan secara menyeluruh seperti perhotelan, pemandu pelancong, agensi pelancongan dan penyedia perkhidmatan pelancongan dalam menyediakan jadual perjalanan yang inklusif dan fleksibel.

    Pakej-pakej produk pelancongan berkenaan berjaya dihasilkan atas kerjasama pihak-pihak berkepentingan pelancongan antaranya Persatuan Ejen Pelancongan Brunei (ATAB), Persatuan Hotel Brunei (BAH), penyedia-penyedia perkhidmatan pelancongan termasuk yang berasaskan komuniti dan majlis perundingan kampung (MPK) melalui pejabat daerah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.

    MESRA serlah keunikan perkhidmatan pelancongan

    Sementara itu, sebagai usaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pelanggan dengan menggabungkan etika dan nilai-nilai Islam sesuai dengan ajaran dan amalan Nabi Muhammad SAW, Jabatan Kemajuan Pelancongan, KSSUP telah memperkenalkan inisiatif Program Latihan Nilai-nilai Islam dalam Perkhidmatan Pelanggan pada 2020 semasa majlis pelancaran Kempen Muhibah, Etika, Senyum, Ramah dan Adil (MESRA) di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP pada penghujung bulan Januari lalu.

    Ia merupakan sebahagian usaha untuk mempromosikan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim dengan nilai-nilai Islam sebagai keunikan yang membezakan Brunei Darussalam dengan destinasi-destinasi lain di rantau ini. Selain inisiatif-inisiatif tersebut, Festival Disember Brunei juga mengetengahkan pelancongan domestik sama ada secara fizikal atau maya, selain menyerlahkan hidangan menarik tempatan serta antarabangsa. Oleh yang demikian, sebagai rakyat dan penduduk yang memiliki tanggungjawab sosial, kita perlu berganding bahu bersama pihak kerajaan dan swasta dalam meningkatkan kelangsungan hidup pasca pandemik dengan bangkit meneruskan kepelbagaian ekonomi negara iaitu salah satunya memperkasa pelancongan domestik dalam suasana kehidupan norma baharu ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035 dan memartabatkan Negara Zikir sejajar dalam sama-sama berjuang membendung krisis kesihatan dengan sebaik-baiknya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...