Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Pelayar negara uji kemampuan dalam SYSC

    Oleh Sim Y.H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Pelayar negara dari Royal Brunei Yacht Club (RBYC), Jeremiah Tan mewakili Brunei Darussalam dalam The Singapore Youth Sailing Championship 2023 (SYSC) yang berlangsung pada 11 Mac hingga 14 Mac di National Sailing Centre, Singapura.

    Kejohanan anjuran Singapore Sailing Federation (SSF) berkenaan disertai oleh 188 orang pelayar Kelas Optimist, 81 orang pelayar Kelas ILCA dan 11 orang pelayar Kelas Techno293.

    Ia merupakan acara pelayaran belia terbesar diadakan di rantau ini dengan penyertaan pelayar-pelayar muda dari Negara Brunei Darussalam, Brazil, China, Perancis, Hong Kong, Jepun, Malaysia, Myanmar, New Zealand, Singapura, Thailand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

    Dalam kejohanan tersebut, Jeremiah menyertai Kelas ILCA di mana beliau bertanding dengan peserta-peserta yang lebih berpengalaman dan pernah mewakili negara masing-masing dalam World Youth Championship.

    Pada hari pertama pertandingan, Jeremiah terpaksa berundur daripada perlumbaan 1 disebabkan kegagalan peralatan tetapi berjaya menukar bot bagi perlumbaan 2 dan 3 serta menduduki kedudukan ke-19 pada hujung hari pertama.

    Aksi Jeremiah pada hari kedua pertandingan SYSC. – Gambar Kit-SSF

    Pada hari kedua perlumbaan, keadaan angin kencang menyukarkan Jeremiah yang tidak biasa dengan keadaan sedemikian dan pegawai perlumbaan terpaksa mengatur semula laluan perlumbaan. Namun, Jeremiah berjaya menamatkan perlumbaan 4,5 dan 6 dan menempatkannya di kedudukan ke-18 di papan pendahulu.

    Pada hari ketiga pertandingan, kelajuan angin meningkat kepada 20 knot dan memberikan sedikit kelebihan kepada Jeremiah dalam perlumbaan 8 dan 10, yang sekali gus meningkatkan kedudukannya ke tangga 15 di papan pendahulu.

    Manakala pada hari keempat pertandingan dan berbaki dua lagi perlawanan, Jeremiah terpaksa akur dengan keadaan angin dan arus yang lebih memihak kepada pelayar yang lebih ringan. Beliau menamatkan kedua-dua perlumbaan di tangga ke-15 dan menduduki tempat ke-16 di papan pendahulu secara keseluruhan.

    Jurulatih High Performance Sailing RBYC, Hanna Afendy berbangga dengan keputusan Jeremiah yang tekun berlatih menghadapi pelbagai cabaran dalam perlumbaan yang berbeza. Beliau turut yakin bahawa masih terdapat ruang yang boleh diperbaiki untuk Jeremiah.

    Beliau akan terus berusaha melatih Jeremiah dalam beberapa bidang utama dan menumpukan kepada taktik dan strategi dengan harapan agar dia dapat mempersiapkan dirinya untuk bersaing dalam World Youth Championship bagi mewakili negara.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Saintis China bina model 3D embrio manusia berusia 3 minggu

    BEIJING, 25 APRIL - Para saintis China membina semula model 3D embrio manusia dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas persenyawaan, yang membuka laluan...