Friday, April 26, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Pemerkasaan Belia Keutamaan buat BIBD

    Oleh Nurdiyanah R.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 FEB – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) hari ini mengadakan sesi dialog secara maya bersama Majlis Belia Brunei (MBB) dengan penglibatan lebih 90 belia yang mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.

    Menurut kenyataan yang diterima dari BIBD, hari ini, dialog itu adalah sebagai sebahagian daripada usaha bank untuk mendapatkan pemahaman yang lebih baik mengenai kebimbangan dan cabaran yang dihadapi belia negara sekali gus menerokai potensi bidang baharu ke arah nilai kerjasama.

    Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman dalam kenyataan itu berkata, sebagai rakan kongsi dalam kemajuan untuk negara, pemerkasaan belia sentiasa menjadi sebab utama yang sentiasa dekat di hati mereka.

    “Sebagai sebuah bank yang berjiwa Brunei, BIBD percaya tiada pelaburan yang lebih besar pada masa depan kita selain memberi tumpuan kepada bagaimana kita boleh memperkasa, menyokong dan merangsang belia kita,” ujarnya.

    Menurutnya lagi, BIBD ingin mendengar secara langsung daripada belia negara dan juga kumpulan-kumpulan yang bekerjasama rapat dengan golongan belia untuk memahami isu dan cabaran yang mereka hadapi dan bagaimana pihak bank sebagai sebuah organisasi boleh membantu mereka.

    Hajah Noraini semasa menyertai sesi dialog secara maya yang diadakan oleh BIBD bersama MBB dengan penglibatan lebih 90 belia yang mewakili NGO di negara ini. – Gambar serahan BIBD

    “Insya- Allah, dialog ini boleh menjadi titik permulaan kepada usaha pelbagai kerjasama yang begitu bermakna dan bermanfaat sehingga akhirnya akan membawa pertumbuhan dan pembangunan yang lebih besar untuk belia kita dalam mencapai Wawasan Brunei 2035,” tekannya.

    Turut hadir dalam dialog maya itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari selaku presiden MBB.

    Sesi dialog bermula dengan taklimat aktiviti perniagaan BIBD dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta pelan hala tuju kumpulan, yang kebanyakannya berkaitan dengan belia.

    Salah satunya ialah Community for Brunei yang mana ia sebagai sebuah platform maya yang dikendalikan oleh komuniti belia dan baru-baru ini telah mencatatkan pencapaian memberangsangkan sebagai Best Emerging Social Enterprise bagi Brunei Special Award Category semasa ASEAN Business Awards 2021.

    Selain itu, BIBD ALAF, BIBD SEED dan BIBD Youth Empowerment Summit (BIBD YES!) juga antara program CSR yang diungkayahkan oleh BIBD.

    Antara topik yang dibincangkan semasa dialog tersebut ialah keusahawanan dan kewangan pendidikan, kepentingan bimbingan serta isu berkaitan kelestarian dan kesedaran kesihatan mental. Wakil-wakil NGO merakamkan penghargaan mereka bagi platform sedemikian untuk penglibatan dan merasakan sesi itu sangat menarik dan tepat pada masanya.

    Dalam pada itu, kenyataan turut menjelaskan BIBD memandang perkembangan belia sebagai tonggak penting bagi kemapanan korporat bank yang mana, ia merupakan pelaburan untuk masa depan negara.

    BIBD percaya kerjasama dan perkongsian dengan pemegang kepentingan strategik utama dan rakan kongsi untuk memastikan bahawa semua kerjasama dan aktiviti diselaraskan oleh bank dan rakan kongsi strategiknya daripada agensi kerajaan, korporat dan sektor swasta adalah sejajar dan menyokong Wawasan Brunei 2035 dengan mengambil pendekatan seluruh negara, selaras dengan peranan BIBD sebagai rakan kongsi dalam kemajuan sekali gus menyumbang kepada hasil jangka panjang dan mampan untuk semua pihak yang terlibat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...