Saturday, April 27, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Penduduk Brunei meningkat

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Penduduk Brunei kini berjumlah 440, 715 orang berbanding 393,372 orang semasa Banci Penduduk dan Perumahan (BPP) 2011, iaitu purata pertumbuhan tahunan sebanyak 1.1 peratus bagi tempoh 2011 hingga 2021.

    Penemuan itu didedahkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) menerusi laporan BPP 2021 dari Januari hingga Disember 2021.

    Menurut laporan, daripada jumlah tersebut, 75.7 peratus (333,669 orang) adalah warganegara, manakala penduduk tetap dan penduduk sementara masing-masing berjumlah 5.9 peratus (25,834) dan 18.4 peratus (81,212).

    Banci tersebut turut mendapati 52.7 peratus (232,194 orang) adalah lelaki, manakala 47.3 peratus (208,521) lagi perempuan dengan nisbah jantina seramai 111 lelaki bagi
    setiap 100 perempuan.

    Taburan penduduk mengikut daerah pula menunjukkan Brunei dan Muara mempunyai penduduk yang paling ramai sebanyak 72.3 peratus (318,530 orang), ini diikuti oleh Belait (14.9% atau 65,531 orang), Tutong (10.7% atau 47,210 orang) dan Temburong (2.1% atau 9,444 orang).

    Dari aspek umur pula, 20.5 peratus (90,376 orang) berumur di bawah 15 tahun, 73.2 peratus (322,445 orang) adalah penduduk dalam kumpulan umur bekerja 15-64 tahun dan 6.3 peratus (27,894 orang) penduduk berumur 65 tahun dan ke atas dengan umur penengah (median) pada tahun 2021 adalah 31.7 tahun.

    Sementara itu, bangsa Melayu merupakan komuniti terbesar di negara ini pada kadar 67.4 peratus (297,016 orang).

    Manakala, bangsa Cina dan lain-lain bangsa masing-masing terdiri daripada 9.6 peratus (42,132 orang) dan 23 peratus (101,567 orang) dengan majoriti penduduk negara ini beragama Islam, merangkumi sebanyak 82.1 peratus (362,035 orang) pada tahun 2021.

    Daripada jumlah penduduk yang berumur 15 tahun dan ke atas, lebih daripada separuh iaitu sebanyak 55.4 peratus atau 193,965 orang telah berkahwin, manakala 38.6 peratus atau 135,137 orang adalah masih bujang.

    Dalam pada itu, laporan selanjutnya mengenai BPP 2021 boleh didapati melalui laman web JPES dan bagi sebarang pertanyaan mengenai perkara ini bolehlah hubungi JPES di talian 2233344 atau melayari laman sesawang mereka di alamat deps.mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    PM Jepun akan lawat Perancis, Brazil dan Paraguay

    TOKYO, 26 APRIL - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida akan melawat Perancis, Brazil dan Paraguay minggu depan ketika negaranya berusaha untuk meningkatkan hubungan dengan...