Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Penggunaan panel suria berkembang pesat di Lubnan

    BEIRUT – Samer el-Rayess, seorang pekerja bank berusia 30 tahun, baru-baru ini meminjam AS$5,000 daripada bapa saudaranya di Amerika Syarikat untuk membeli sistem panel suria bagi menghidupkan mesin oksigen yang sangat diperlukan ayahnya.

    Pemuda itu tidak boleh bergantung kepada bekalan kuasa daripada elektrik Lubnan atau generator peribadi, yang dihadkan hanya beberapa jam sehari.

    “Saya tiada pilihan selain memasang sistem tenaga suria kerana bapa saya menghidap penyakit paru-paru dan mungkin berdepan kematian jika dia tidak menggunakan mesin oksigennya selama 12 hingga 15 jam sehari,” kata Rayess kepada Xinhua.

    Kekurangan elektrik di Lubnan telah menjadi masalah kronik, diburukkan lagi dengan kekurangan dolar AS yang mengehadkan kapasiti negara untuk mengimport bahan api untuk stesen jana kuasa.

    Akibatnya, seluruh rumah di Lubnan mengalami gangguan bekalan elektrik setiap hari yang berlangsung sekitar 20 jam sehari.

    Panel suria kelihatan di atas bumbung beberapa bangunan di Beirut, Lubnan. – Xinhua
    Seorang lelaki melintasi lampu yang dikuasakan oleh tenaga suria di hadapan sebuah kedai di Beirut, Lubnan. – Xinhua

    Selain itu, harga penggunaan generator peribadi meningkat dengan ketara selepas bank pusat memutuskan untuk menghapuskan subsidi diesel, menyebabkan banyak seisi rumah dalam kegelapan.

    “Gaji saya tidak lebih daripada AS$300 sebulan memandangkan kejatuhan mata wang tempatan, dan saya terpaksa membayar sekitar AS$140 sebulan untuk sembilan jam elektrik sehari daripada generator peribadi, yang membawa bencana kepada saya,” kata Rayess.

    Bilangan rakyat Lubnan yang semakin meningkat telah menggunakan tenaga suria di tengah-tengah kebimbangan akan pemotongan kuasa selanjutnya kerana rizab bank pusat Lubnan berjumlah AS$11 bilion sahaja, yang bermakna import produk bahan api mungkin terhenti sepenuhnya dalam masa terdekat.

    Muhieddine Habli, pemilik ActiveX IT, sebuah syarikat teknologi maklumat yang menjual panel suria dan perkhidmatan IT lain, memberitahu Xinhua bahawa permintaan untuk sistem panel suria melonjak sejak enam bulan lalu di tengah-tengah situasi kewangan yang tidak menentu.

    “Semakin ramai orang telah menyingkirkan generator peribadi mereka dan lebih memilih panel suria,” kata Habli kepada Xinhua. Habli berkata sistem panel suria 20-ampere menggunakan empat bateri boleh membekalkan kira-kira lima jam bekalan kuasa pada waktu malam dan sistem lapan bateri boleh membekalkan elektrik sepanjang malam.

    “Walaupun kos sistem panel suria yang tinggi, berkisar antara AS$4,000 dan AS$5,000, orang ramai telah meminjam wang daripada saudara mara untuk melabur bagi penyelesaian masalah elektrik,” tambah Habli.

    Peningkatan permintaan untuk sistem tenaga suria mendorong Bank Perumahan Lubnan melancarkan pinjaman tenaga suria yang menawarkan 75 juta pound Lubnan (kira-kira AS$2,500) untuk setiap isi rumah dengan kadar faedah 4.99 peratus selama 30 tahun. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...