Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Penghulu penggerak pembaharuan dan pembangunan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Seorang penghulu mukim bertanggungjawab bagi menerajui perpaduan, keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan hidup bermasyarakat di sesebuah mukim.

    Mereka juga adalah penggerak kepada pembaharuan, pembangunan dan perkembangan sosioekonomi masyarakat mukim serta sebagai perantara dua hala kerajaan dengan penduduk atau masyarakat kampung.

    Perkara itu ditekankan oleh Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim semasa Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Penghulu Mukim Zon 2, Mukim Kampong Ayer yang berlangsung di Sekolah Rendah Pehin Dato Jamil, Kampung Setia A, hari ini.

    Beliau turut menyatakan, penghulu mukim bertindak sebagai peneraju bagi mengukuhkan, memantapkan, mempertahankan dan mengekalkan sistem pemerintahan bernegara di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    “Seorang penghulu mukim mestilah bekerjasama rapat dengan ketua-ketua kampung dalam mukimnya dan mukim persekitarannya dalam membangun dan memeduli kesejahteraan, keamanan, keselamatan, keharmonian dan perpaduan masyarakat dengan sikap pemedulian dan prihatin yang sewajarnya kepada hal ehwal suka duka penduduk mukim,” ujarnya.

    Penduduk mukim semasa mengundi di Sekolah Rendah Pehin Dato Jamil, Kampung Setia A. – Gambar serahan Jabatan Daerah Brunei Muara

    Mereka juga, tekan Awang Misle lagi, bertanggungjawab dengan mewujudkan budaya hidup berjiran dalam satu masyarakat pemedulian dan bersefahaman dengan cara mengawasi dan memelihara perpaduan serta keharmonian masyarakat di samping mencegah unsur-unsur perpecahan.

    “Berusaha dan berikhtiar untuk memperbaiki dan memeduli hal ehwal mukim dan masyarakat di dalamnya serta sentiasa peka akan keadaan semasa dan yang mungkin berlaku di dalam mukim serta sekelilingnya,” tambah beliau.

    Pada majlis berkenaan, hanya seorang calon yang dibawa ke majlis pengundian dan pemilihan calon penghulu Mukim Zon 2, Mukim Kampong Ayer iaitu Awang Raimi bin Awang Rashid.

    Beliau berumur 32 tahun semasa tarikh tutup pencalonan pada 8 April 2020 dan bermastautin di Kampung Setia A, Mukim Sungai Kebun sejak lahir serta mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari Universiti Brunei Darussalam.

    Majlis pengundian dan pemilihan dilaksanakan dengan menggunakan kertas undi dan pengundian secara dalam talian melalui aplikasi mudah alih e-Undi PMKK.

    Pengundian menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK dan menggunakan kertas undi telah bermula pada 5 Ogos lalu hingga hari ini.

    Seramai 375 orang penduduk mukim daripada seramai 503 orang yang berdaftar dan layak mengundi telah hadir mengundi di mana daripada jumlah yang telah hadir mengundi tersebut, seramai 370 orang bersetuju, seorang tidak bersetuju dan empat undi rosak.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...