Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Penjana tenaga punca pencemaran udara

    BEIRUT – Di tempat letak kereta, pada trak, perkarangan hospital dan atas bumbung, penjana persendirian terdapat di mana-mana di kawasan Timur Tengah, mengeluarkan asap berbahaya ke dalam rumah dan perniagaan 24 jam sehari.

    Ketika dunia mencari tenaga boleh diperbaharui untuk menangani perubahan iklim, berjuta-juta penduduk di seluruh rantau ini bergantung hampir sepenuhnya kepada penjana persendirian untuk memastikan lampu terus menyala kerana peperangan atau salah pengurusan telah memusnahkan infrastruktur elektrik.

    Pakar menggelarnya sebagai pemusnahan negara daripada perspektif alam sekitar dan kesihatan.

    “Pencemaran udara yang dihasilkan penjana diesel mengandungi lebih daripada 40 bahan cemar udara toksik, termasuk banyak bahan yang diketahui atau disyaki penyebab kanser,” kata pengarah urusan dan pengasas bersama Akademi Alam Sekitar di American University of Beirut di Lubnan, Samy Kayed.

    Pendedahan yang lebih besar kepada bahan tercemar ini berkemungkinan meningkatkan penyakit pernafasan dan penyakit kardiovaskular, katanya. Ia juga menyebabkan hujan asid yang merosakkan tumbuhan dan meningkatkan eutrofikasi iaitu pengumpulan lebihan nutrien dalam air yang akhirnya membunuh tumbuhan akuatik.

    Seorang pekerja menghidupkan penjana diesel milik persendirian yang membekalkan tenaga kepada rumah dan perniagaan di Beirut, Lubnan. – AP

    Asap berkepul-kepul naik dari bumbung sebuah hotel selepas penjana diesel milik persendirian terbakar di Beirut, Lubnan. – AP

    Memandangkan mereka biasanya menggunakan diesel, penjana juga menghasilkan lebih banyak pelepasan yang mendorong kepada perubahan iklim daripada loji jana kuasa gas asli, katanya.

    Bahan pencemar yang disebabkan oleh penjana besar menambah lagi masalah alam sekitar di Timur Tengah, yang merupakan salah satu kawasan yang paling terdedah di dunia kepada kesan perubahan iklim.

    Wilayah berkenaan sudah mencatat suhu tinggi dan sumber air yang terhad walaupun tanpa kesan pemanasan global yang semakin meningkat.

    Kebergantungan pada penjana merupakan kesan daripada kegagalan pentadbiran.

    Di Lubnan, Iraq, Yaman dan tempat lain, kerajaan tidak dapat mengekalkan rangkaian tenaga pusat yang berfungsi, sama ada disebabkan peperangan, konflik atau salah urus dan rasuah.

    Lubnan, sebagai contoh, masih belum membina loji jana kuasa baharu dalam tempoh beberapa dekad.

    Pelbagai rancangan baharu untuk membina stesen tenaga baharu telah tergendala disebabkan erbalahan politik dan konflik kepentingan.

    Beberapa loji minyak bahan api berat yang sudah usang di negara itu tidak lagi dapat memenuhi permintaan.

    Sementara itu, Iraq terletak di beberapa simpanan minyak terbesar di dunia.

    Namun begitu, penduduk masih menggunakan penghawa dingin siang dan malam untuk mengekalkan kesejukan semasa musim panas yang terik.

    Manakala di Libya, rangkaian elektrik telah runtuh di tengah-tengah perang saudara selama bertahun-tahun dan pergolakan kerajaan pusat.

    “Bekalan elektrik terputus berlaku pada waktu-waktu sibuk, apabila elektrik paling diperlukan,” kata pemilik kedai daging di bandar Benghazi, Muataz Shobaik yang menggunakan penjana yang bising untuk memastikan penyejuknya berfungsi.

    Lima juta orang penduduk di Lubnan telah lama bergantung kepada penjana kuasa. Perkataan moteur, iaitu bahasa Perancis untuk penjana, adalah salah satu perkataan yang paling kerap dituturkan dalam kalangan orang Lubnan.

    Mereka yang tidak dapat memulakan hari tanpa kopi perlu menggunakan jam loceng untuk membancuh secawan kopi sebelum penjana dimatikan.

    Kebergantungan terhadap penjana meningkat sejak ekonomi Lubnan runtuh pada akhir 2019 dan bekalan elektrik terputus di pencawang tenaga mulai berlarutan.

    Pada masa yang sama, pemilik penjana terpaksa mencatu penggunaan di tengah-tengah harga diesel yang melambung naik dan suhu tinggi memaksa mereka menutupnya beberapa kali sehari untuk mengelak ia menjadi terlalu panas. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...