Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Perancis tempah slot ke Suku Akhir

    ROTHERHAM, UNITED KINGDOM, 15 JULAI – Perancis terselamat daripada dikejutkan untuk menempah tempat ke suku akhir Euro Wanita 2022 sebagai juara Kumpulan D selepas kemenangan 2-1 menentang Belgium kelmarin.

    Pasukan kendalian Corinne Diacre itu membuat permulaan yang sempurna apabila hantaran lintang Sakina Karchaoui ditanduk masuk oleh Kadidiatou Diani selepas hanya enam minit dari sepak mula.

    Janice Cayman berjaya menjaringkan gol penyamaan buat Belgium dengan pada minit ke-36 di Stadium New York, Rotherham.

    Walau bagaimanapun, Perancis, sebelum ini membenam Itali 5-1 dalam perlawanan pertama kumpulan mereka, bangkit daripada kedudukan terikat itu sejurus lima minit kemudian.

    Griedge Mbock Bathy melompat tinggi untuk menghasilkan tandukan padu ke jaring menerusi hantaran lintang Clara Mateo.

    Reaksi Kadidiatou Diani selepas menjaringkan gol pertama pasukannya semasa perlawanan bola sepak Kumpulan D Euro Wanita 2022 UEFA di Stadium New York di Rotherham kelmarin. – AFP

    Perancis, yang membuat sebanyak 27 percubaan berbanding dua percubaan Belgium, mensia-siakan peluang untuk menang dengan jaringan lebih besar apabila bola terkena tangan Amber Tysiak dan diberikan sepakan penalti selepas semakan VAR.

    Kesalahan Tysiak menyebabkan dia dilayangkan kad kuning kedua justeru diarah keluar padang. Namun peluang terhidang disia-siakan, sepakan penalti Wendy Renard berjaya diselamatkan oleh Nicky Evrard.

    Sementara itu, pasukan Perancis dibelenggu kebimbangan apabila pemain harapan, Marie-Antoinette Katoto mengalami kecederaan pada separuh masa pertama dan menyebabkan penyertaannya diragui di peringkat kalah mati nanti.

    Perancis telah memenangi sebanyak 16 perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan dengan jaringan 69 gol dan hanya bolos tujuh kali dalam saingan tersebut.

    Pada suku akhir, Perancis akan menentang naib juara Kumpulan C, dengan Belanda kini di tempat pertama dan Sweden di tempat kedua. Manakala Belgium berada di tempat ketiga Kumpulan D, dengan satu mata daripada dua perlawanan. Mereka mesti menewaskan Itali dalam perlawanan terakhir mereka untuk berpeluang memintas tempat kedua, Iceland. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...