Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Peranti pengesan GPS lindungi sarang lebah

    WOODLAND, CALIFORNIA – Untuk berminggu-minggu lamanya, penternak lebah di seluruh Amerika Syarikat (AS) membawa berbilion lebah madu ke California untuk menyewa lebah kepada pekebun kacang badam yang memerlukan serangga itu untuk mendebungakan tanaman paling berharga di negeri berkenaan.

    Namun ketika pokok badam mulai berbunga, menyelubungi seluruh lembah dengan bunga putih dan merah jambu, maka bermulalah kecurian sarang lebah yang telah menjadi amat teruk sehingga penternak lebah kini beralih kepada peranti penjejak GPS, kamera dan teknologi anti-kecurian lain demi melindungi koloni lebah berharga mereka.

    Kecurian sarang lebah telah dilaporkan di kawasan lain di negara itu, terbaharu tiga sarang yang mengandungi 60,000 lebah telah dicuri dari kebun rantaian kedai runcit di tengah Pennsylvania. Kejadian berlaku pada skala lebih besar di California pada masa ini disebabkan lebah paling popular semasa pendebungaan terbesar di dunia.

    Sejak beberapa minggu lalu, 1,036 sarang lebah bernilai ratusan ribu dolar dilaporkan dicuri dari kebun di seluruh negeri, menurut pihak berkuasa. Kecurian terbesar membabitkan 384 sarang lebah yang dicuri dari sebuah ladang di Mendocino, mendorong persatuan penternak lebah menawarkan ganjaran AS$10,000 untuk maklumat yang membawa kepada penemuan sarang berkenaan.

    “Sukar untuk meluahkan perasaan menjaga sarang sepanjang tahun hanya mendapat tahu ia dicuri,” tulis Claire Tauzer di Facebook. Sehari kemudian, seorang pemberi maklumat membawa pihak berkuasa kepada penemuan kotak dan jentolak yang dicuri daripada perniagaan keluarga Tauzer kira-kira 88 kilometer dari ladang di kawasan Yolo. Seorang suspek berjaya ditangkap.

    Penternak lebah Helio Medina menunjukkan bingkai sarang lebah dipasang dengan penjejak GPS di Woodland, California. – AP
    Seekor lebah mendekati pokok badam yang berbunga di sebuah dusun berhampiran Woodland, California. – AP
    Trevor Tauzer menyewa sarang lebah untuk pendebungaan tanaman, memeriksa sarang lebah di ladang pokok badam di Woodland. – AP
    Sarang lebah Tauzer Apiaries disewa untuk pendebungaan tanaman, terletak di sebuah ladang pokok badam di Woodland, California. – AP

    Penyiasat juga menemui bingkai, yang digunakan untuk menyimpan indung madu, milik Helio Medina, seorang penternak lebah yang kehilangan 282 sarang setahun lalu.

    Medina berkata kecurian memusnahkan sarang lebahnya, maka pada tahun ini dia meletakkan penjejak GPS dalam kotak. Dia juga memasang kunci kabel di sekeliling kotak serta memasang kamera di kawasan itu. Ketika masa untuk badam berbunga menjelang dan sarang menjadi paling berharga, dia meronda dusun pada waktu malam.

    “Kami perlu melakukan apa yang mampu untuk melindungi diri kami. Tidak ada sesiapa yang boleh membantu kami,” kata Medina.

    Kecurian biasanya berlaku pada malam, apabila tidak ada orang dalam dusun dan lebah kembali ke sarang. Pencuri biasanya seorang penternak lebah atau seseorang yang biasa dengan penghantaran lebah.

    “Kebanyakannya mereka mencuri untuk mengaut keuntungan dan membiarkan lebah mati,” kata Rowdy Jay Freeman, detektif kawasan Butte, yang telah menjejaki kecurian sarang lebah sejak 2013.

    Bekalan lebah yang ketat dan bayaran pendebungaan meningkat – melonjak daripada AS$50 untuk menyewa satu sarang lebah dua dekad lalu kepada AS$230 setiap sarang tahun ini – mungkin mendorong penternak lebah melakukan kegiatan mencuri.

    Permintaan untuk lebah telah meningkat dalam tempoh 20 tahun lalu ketika kepopularan kacang yang sihat itu telah menjadikan California pengeluar kacang badam terbesar di dunia. Oleh yang demikian, jumlah tanah yang digunakan untuk menanam pokok badam telah meningkat dua kali ganda kepada 1.3 juta ekar.

    Penternak lebah telah mengekal perkembangan tersebut dengan menyediakan sejumlah besar stok sarang lebah yang ada dalam negara. Tahun ini, tinjauan ke atas penternak lebah komersial menganggarkan ia akan mengambil 90 peratus daripada koloni indung lebah di AS untuk mendebungakan kesemua ladang pokok badam.

    “Ia bermakna penternak lebah akan datang sejauh New York dan Florida dan untuk mendorong mereka datang ke sini, bayaran pendebungaan telah naik,” kata Brittney Godrich, ahli ekonomi pertanian di Universiti California di Davis.

    Namun jumlah lebah amat tidak stabil disebabkan pelbagai masalah, termasuk penyakit, kehilangan habitat dan racun perosak.

    Kemarau yang melanda negeri Barat pada musim panas lalu juga menjejas koloni. Kekurangan hujan merosakkan bunga liar yang menyediakan nektar yang diubah lebah kepada madu. Penternak lebah terpaksa mengganti diet mereka dengan larutan gula dan debunga tiruan – sekali gus menanggung lebih banyak kos.

    Bagi penternak lebah, kehilangan sarang lebah bermakna kehilangan pendapatan daripada penghasilan madu dan pendebungaan masa depan, selain kos menguruskan sarang sepanjang tahun. Mereka berkata mereka jarang mendapat pulang modal.

    Denise Qualls, broker pendebungaan yang menghubungkan penternak lebah dengan pekebun pokok badam, percaya kecurian berlaku disebabkan penternak lebah gagal membekalkan koloni yang dijanjikan mereka, ‘supaya mereka boleh mendapatkan wang daripada pekebun pokok badam dan seterusnya mereka meninggalkan sarang.’

    Untuk membantu pelanggan mereka mengesan pelaburan mereka, Qualls menggabungkan perniagaannya dengan firma teknologi Bee Hero untuk melengkapkan kotak sarang lebah dengan sensor GPS.

    Freeman, yang menceburi diri dalam perniagaan penternakan lebah selepas menyiasat kecurian sarang lebah pertamanya, berkata dia menasihat penternak supaya menggunakan kamera dan meletak nama dan nombor telefon mereka pada kotak.

    Beliau berkata beberapa penternak lebah cuba menandakan kotak mereka dengan SmartWater CSI, sejenis alat forensik yang digunakan oleh polis untuk menjejaki barangan curi yang ditemui. Cecair hanya dapat dilihat di bawah cahaya UV, walaupun menerusi lapisan cat, maka polis boleh memastikan pemilik yang betul walaupun apabila pencuri cuba menyembunyikan kotak berkenaan. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...