Friday, April 26, 2024
33.6 C
Brunei

    -

    Perkhidmatan untuk OKU perlu terbuka, saksama

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Golongan orang kelainan upaya (OKU) juga mempunyai keperluan yang sama seperti orang lain, termasuk dalam mendapatkan apa jua perkhidmatan dan penjagaan kesihatan.

    Segala perkhidmatan yang diberikan tidak sepatutnya mendiskriminasi golongan OKU.

    Malahan ia perlu terbuka dan saksama bagi semua orang, termasuk setiap individu yang berkelainan upaya.

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa menyampaikan ucapan di Majlis Pelancaran Hari Antarabangsa Orang Kelainan Upaya (HAOKU) 2022, di Teater Kuliah, Tingkat RF, Bangunan PJSC, hari ini.

    Sementara itu, Yang Berhormat Dato turut mengongsikan statistik yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyatakan terdapat kira-kira 15 peratus daripada keseluruhan orang dewasa dan kanak-kanak di seluruh dunia mengalami kelainan upaya di mana 2 hingga 4 peratus mengalami masalah yang menyebabkan kesukaran untuk berfungsi.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran HAOKU 2022, kelmarin.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bergambar ramai semasa majlis berkenaan.

    Jumlah tersebut akan terus meningkat disebabkan oleh pelbagai faktor seperti peningkatan umur dan peningkatan penyakit kronik.

    “Isu ini terus mendapat perhatian global apabila WHO mengeluarkan Laporan Global mengenai Kesaksamaan Kesihatan bagi OKU semasa Perhimpunan Kesihatan Sedunia yang ke-74 pada tahun ini,” jelas Yang Berhormat Dato.

    Laporan tersebut dihasilkan susulan daripada beberapa sesi konsultasi dengan negara-negara ahli, termasuk Brunei Darussalam dan juga beberapa pihak berkepentingan dalam sektor kelainan upaya dan kesihatan.

    Jelas Yang Berhormat Dato, laporan itu antara lain memberi penekanan terhadap kepentingan isu kelainan upaya di peringkat global di mana golongan OKU juga mempunyai hak yang saksama untuk mencapai tahap kesihatan yang tinggi.

    Selain itu, Yang Berhormat Dato turut menekankan bahawa pengesanan awal adalah sangat penting dalam membantu perkembangan golongan OKU. Oleh itu, melalui program pemantauan kesihatan kanak-kanak di pusat-pusat kesihatan ibu dan kanak-kanak di seluruh negara, masalah perkembangan kanak-kanak akan dipantau.

    “Pengesanan awal ini akan membuka jalan bagi intervensi awal dilakukan dengan tujuan untuk mengurangkan kesan kelainan upaya dalam kalangan kanak-kanak, yang seterusnya akan meningkatkan peluang mereka untuk lebih berdikari pada masa dewasa kelak,” kata beliau.

    Oleh itu, perkhidmatan pemulihan dan rehabilitasi adalah sangat penting untuk membantu mengurangkan kesan daripada pelbagai masalah kesihatan yang mereka alami. Ia juga, menurut beliau, boleh membantu mereka untuk mencapai dan mengekalkan fungsi yang optimum.

    Dalam hal itu, Yang Berhormat Dato mengongsikan bahawa Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) dalam memberikan perkhidmatan pemulihan dan rehabilitasi bagi pesakit-pesakit dewasa yang menghidap berbagai-bagai jenis masalah kesihatan seperti kanser, strok, kecederaan saraf tunjang, kecederaan otak, gangguan saraf atau trauma dan sebagainya.

    Menurut beliau, ia membolehkan para pesakit mendapatkan perkhidmatan pemulihan serta apa jua alat bantu, sama ada yang berteknologi mudah atau yang canggih agar mereka boleh bekerja, bersekolah dan meneruskan kehidupan dalam masyarakat seperti biasa.

    “Oleh yang demikian, tek-nologi bantu bagi golongan OKU tidak hanya terhad untuk membolehkan mereka bergerak dari satu tempat ke tempat lain, tetapi juga diperlukan untuk memudahkan kesemua aspek kehidupan termasuk keperluan berkomunikasi, beriadah, bersukan, pembelajaran dan sebagainya,” jelas Yang Berhormat Dato.

    “Selain itu, ia juga penting dari segi memastikan peluang pekerjaan juga terbuka luas untuk mereka,” tekannya.

    Yang Berhormat Dato menambah penyediaan tatacara dan garis panduan yang praktikal juga diperlukan untuk mengurangkan ketidaksamaan di tempat kerja di samping mempromosikan kepelbagaian.

    “Marilah kita bersama-sama berusaha untuk menjadikan dunia ini lebih terbuka dan saksama bagi semua orang melalui inovasi yang menghasilkan penyelesaian transformatif ke arah pembangunan yang inklusif,” katanya.

    Hari Antarabangsa OKU disambut setiap tahun pada 3 Disember dengan tema pada tahun ini ‘Penyelesaian Transformatif bagi Pembangunan Inklusif: Peranan Inovasi dalam Memacu Dunia yang Terbuka dan Saksama’.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rundingan AS-China bermula dengan amaran tentang salah faham dan salah perhitungan

    BEIJING, 26 APRIL - Amerika Syarikat dan China bertelagah mengenai beberapa isu dua hala, serantau dan global yang menjadi perbalahan ketika Setiausaha Negara Amerika...