Friday, April 26, 2024
29.2 C
Brunei

    -

    Perlunya tenaga wanita bantu pergerakan NGO

    KABUL – Kumpulan bantuan berkata mereka telah dihimpit oleh Taliban yang melarang wanita Afghanistan bekerja untuk badan bukan kerajaan (NGO), larangan yang telah meninggalkan jurang berbahaya dalam sokongan menyelamatkan nyawa.

    NGO Afghanistan telah memainkan peranan penting dalam usaha menangani salah satu krisis kemanusiaan terburuk di dunia, dengan separuh penduduk negara itu kelaparan dan tiga juta kanak-kanak berisiko kekurangan zat makanan.

    “Adalah mustahil untuk kami meneruskan aktiviti kami di negara ini jika kami tidak mempunyai wanita sebagai sebahagian daripada organisasi kami di semua peringkat,” kata Samira Sayed-Rahman, pegawai kanan di Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa (IRC), kepada AFP.

    Kira-kira 1,260 NGO beroperasi di seluruh Afghanistan, dengan ribuan pekerja wanita menyediakan perkhidmatan dalam penjagaan kesihatan, pendidikan, air dan sanitasi.

    IRC adalah salah satu daripada beberapa NGO bersama CARE dan Save the Children yang telah menggantung operasi sementara mereka menggesa Taliban untuk membatalkan larangan itu.

    Samira Sayed-Rahman ketika ditemu bual AFP di Kabul. – AFP
    Samy Guessabi, ketua Action Against Hunger di Afghanistan, semasa ditemui di Kabul. – AFP
    Seorang lelaki Afghanistan menolak kereta sorong yang sarat dengan bantuan makanan yang diagihkan oleh NGO. – AFP
    Beberapa orang lelaki Afghanistan berdiri dalam barisan menunggu untuk menerima bantuan makanan daripada NGO di Kabul. – AFP

    Dasar diskriminasi Taliban akan menyaksikan beribu-ribu wanita kehilangan pekerjaan dan lebih ramai lagi terputus daripada bantuan, kata petugas.

    “Taliban telah mengekang kami sehingga ke dasarnya,” kata seorang pegawai kanan di sebuah NGO asing, yang enggan dikenali.

    “Mereka memberitahu kami, ‘Jika awda memilih untuk pergi berbanding mematuhi peraturan kami, maka situasi (kemanusiaan) hanya akan bertambah buruk’.”

    Larangan itu adalah salah satu daripada dua perintah mengekang yang dikeluarkan berturut-turut bulan lalu: hanya beberapa hari sebelum itu, pihak berkuasa Taliban melarang wanita daripada pendidikan universiti. Ia adalah kemuncak daripada sekatan-sekatan ke atas kehidupan wanita.

    Bantuan wanita kepada wanita

    Dalam masyarakat Afghanistan yang sangat konservatif dan patriar- ki, secara meluas dianggap tidak wajar bagi seorang wanita bercakap dengan seorang lelaki yang bukan saudara terdekat.

    Oleh itu, wanita adalah penting untuk operasi bantuan di lapangan, terutamanya dalam mengenal pasti wanita lain yang memerlukan, kata Reshma Azmi, timbalan ketua negara untuk CARE di Afghanistan.

    “Seorang penerima manfaat wanita juga berasa lebih selesa bercakap dengan pekerja bantuan wanita… sebab itu adalah mustahil beroperasi tanpa kakitangan wanita,” kata Azmi kepada AFP.

    CARE memberikan bantuan kepada kira-kira setengah juta wanita dan kanak-kanak pada 2022, termasuk menawarkan kelas untuk kanak-kanak perempuan yang dikendalikan oleh guru wanita.

    “Tanpa kakitangan wanita kami, kami tidak akan mencapai separuh daripada mereka,” kata Azmi.

    Pegawai kerajaan mendakwa larangan itu dikenakan kerana wanita tidak mematuhi peraturan Taliban mengenai pemakaian tudung, atau ditemani oleh saudara lelaki semasa dalam perjalanan.

    Tetapi beberapa pekerja bantuan yang bercakap dengan AFP berkata mereka tidak menerima sebarang amaran melanggar norma budaya.

    “Organisasi kemanusiaan menghormati nilai, tradisi dan budaya Afghanistan,” kata Samy Guessabi, ketua Action Against Hunger di Afghanistan, kepada AFP.

    Pekerja bantuan dan penganalisis berkata ia hanya alasan saja, dengan pemimpin tertinggi Taliban dan kalangan dalamannya tidak henti-henti mengasingkan wanita daripada kehidupan awam.

    “Terdapat kumpulan yang sangat konservatif dalam rejim yang tidak mahu wanita dilihat di khalayak ramai walaupun wanita ini terlibat dalam khidmat masyarakat,” kata pegawai bantuan lain.

    Taliban menegaskan bantuan masih boleh sampai kepada yang memerlukan dengan dihantar kepada lelaki dalam keluarga, mengurangkan keperluan untuk pekerja bantuan wanita. Larangan itu mengecualikan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), yang telah mengecam perintah itu dan menyertai NGO dalam mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa Kabul menuntut penjelasan.

    Bagaimanapun, Penyelaras Residen PBB di Afghanistan, Ramiz Alakbarov berkata mereka tidak akan menghentikan bantuan sebagai protes kerana ia penting untuk kekal dan menyampaikan.

    “Cara terbaik untuk mendapatkan penyelesaian bukanlah tekanan. Ia adalah dialog,” katanya minggu lalu.

    Ambang kebuluran

    Beberapa NGO mendapat kebenaran untuk bekerja di kawasan yang dikawal oleh Taliban selama dua dekad pertempuran antara kerajaan yang disokong Amerika Syarikat dan pemberontak gerakan Islam.

    “Dulu ada perbincangan dan rundingan dengan komander Taliban tempatan, malah ketika itu kami mempunyai ramai kakitangan wanita yang bekerja dalam projek kami,” kata seorang pegawai bantuan.

    “Objektif telah dijelaskan, bahawa kami terkecuali… dan matlamat kami adalah untuk mendekati orang yang memerlukan, dan bukannya yang lain.”

    Kekecewaan juga semakin meningkat dalam komuniti NGO kerana larangan itu berlaku apabila pekerja bantuan baru sahaja menembusi kawasan yang sebelum ini tidak dapat diakses semasa perang.

    “Terdapat banyak bahagian yang telah menerima bantuan buat kali pertama, dan pekerja wanita telah menjadi sebahagian daripada tindak balas itu,” kata Sayed-Rahman dari IRC.

    Afghanistan, yang hampir sepenuhnya bergantung kepada bantuan, telah menyaksikan ekonominya terumbang-ambing di ambang kehancuran sejak pengambilalihan Taliban pada Ogos 2021, apabila Washington membekukan berbilion dolar aset Afghanistan.

    “Musim sejuk lalu, bantuan kemanusiaan berjaya menghalang kebuluran. Jika kita tidak dapat menyampaikan bantuan dengan cara yang sama, kita akan berhadapan dengan situasi yang sangat mengerikan di seluruh negara,” kata Sayed-Rahman. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...